Tekong bot bawa penumpang tanpa lesen sah ditahan  - Utusan Malaysia

Tekong bot bawa penumpang tanpa lesen sah ditahan 

MARITIM Malaysia Pulau Pinang menahan tekong bot yang membawa sembilan penumpang tanpa lesen yang sah di perairan Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan tekong bot yang membawa penumpang tanpa lesen yang sah petang semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, tekong berusia 17 tahun itu ditahan bersama sembilan penumpang termasuk kanak-kanak berusia lingkungan lapan hingga 64 tahun, kira-kira pukul 5.40 petang.

“Kesemua mereka ditahan di kedudukan 0.3 kilometer dari timur Batu Uban.

“Kita dapati tekong bot ini membawa penumpang tanpa lesen yang sah, pemeriksaan juga mendapati bot tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, tekong tersebut dalam perjalanan membawa penumpang untuk aktiviti memancing dan gagal mengemukakan lesen bot serta kebenaran membawa penumpang semasa pemeriksaan dilakukan.

Katanya, bot dan semua yang ditahan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban dan dirujuk kepada Ibu pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi tanpa lesen bot yang sah. Jika didapati bersalah boleh didenda maksimun RM 10,000,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya memberi amaran kepada semua pemilik dan tekong bot supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang di laut yang sedia ada.

“Penumpang juga harus peka sekiranya ingin menggunakan pengangkutan laut dengan memastikan bot yang dinaiki memiliki lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa supaya tahap keselamatan mereka lebih terjamin sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya.

Tambahnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 042626146 atau talian kecemasan MERS 999.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya