Tangan palsu 3D ciptaan UTM untuk kanak-kanak OKU, mangsa perang di Yaman - Utusan Malaysia

Tangan palsu 3D ciptaan UTM untuk kanak-kanak OKU, mangsa perang di Yaman

PELAJAR Kejuruteraan Bioperubatan, Amalina Has menunjukkan tangan 3D yang dihasilkan bagi tujuan membantu kanak-kanak Yaman yang mengalami kecacatan tangan pada majlis Serahan Tangan 3D ke Yaman di UTM, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengukir senyuman kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang juga mangsa peperangan di Yaman dengan menyumbangkan sebanyak 30 tangan palsu cetakan tiga dimensi (3D) bagi kegunaan mereka.

Rekaan tangan palsu 3D bersaiz kecil itu disasarkan untuk kegunaan kanak-kanak berusia enam hingga 10 tahun sama ada cacat semenjak dilahirkan, kemalangan atau kesan daripada peperangan di negara terbabit yang masih mempunyai pergelangan tangan.

Ketua Projek dan Pensyarah Kanan UTM, Dr. Mohd. Najeb Jamaludin berkata, tangan palsu itu dihasilkan menerusi penyelidikan, inovasi dan sinergi penyelidik Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan UTM dengan kerjasama sebuah syarikat percetakan 3D dan pereka tangan robotik tempatan, MyVista.

Beliau berkata, inovasi baharu berkenaan adalah kombinasi teknologi cetakan 3D, perisian lukisan 3D dan tambahan ciri-ciri kawalan elektronik untuk pergerakan tangan palsu serta penambahan ciri deria rasa pada pergerakan tangan palsu cetakan 3D. 

“Tangan palsu cetakan 3D tersebut mampu menggerakkan jari-jari secara manual, menghasilkan gerak isyarat tangan yang berbeza-beza seperti boleh memegang pen dan botol air. 

“Tangan palsu ini berfungsi sebagai terapi bagi melatih pemakainya untuk membiasakan diri menggunakan alat bantuan tangan pada peringkat permulaan sekaligus membantu mengembalikan semula keyakinan” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Turut sama dalam majlis itu ialah pereka tangan robotik, Sujana Mohd. Rejab.

Mohd. Najeb berkata, kesemua unit tangan palsu tersebut akan diserahkan kepada badan bukan kerajaan berpangkalan di Yaman, Tahadi Institution for the Care and Rehabilitation of The Disabled (TCRD) pada bulan depan.

Menurutnya, penerima tangan robotik itu juga akan dibekalkan dengan manual latihan dalam bahasa Arab untuk memudahkan mereka menggunakan tangan palsu itu selain menjalani ujian penilaian yang akan dipantau oleh TCRD.

“Sekiranya tangan palsu yang asas ini dapat dimanfaatkan, kita akan buat penilaian dan akan membekalkan pula produk inovasi yang lebih canggih yang menggunakan motor, bateri dan sebagainya,” katanya.

Kata Mohd. Najeb, dengan kemudahan berkenaan, pengguna akan lebih selesa mengenakan tangan prostetik cetakan 3D dalam aktiviti harian yang seterusnya mampu untuk mengendalikan sendiri tanpa bantuan individu lain.

Beliau berkata, penghasilan tangan palsu yang dibantu kepakaran Sujana serta penglibatan pelajar Yaman di UTM membolehkan mereka mengguna pakai sebaik pulang ke negara mereka yang dilanda krisis peperangan.

Katanya, inisiatif dihasilkan Sujana menerusi syarikat MyVista sudah memberi banyak manfaat kepada lebih 100 penerima yang memerlukan berusia empat hingga 60 tahun di seluruh dunia seperti di Singapura, Nepal, Afrika Selatan dan Syria sejak 2015.

“Projek penyelidikan ini memberi perkembangan impak positif kepada industri percetakan 3D dan pada masa sama memberi nafas baru dalam perkembangan tangan prostetik aktif, selain kosmetik yang sedia ada.

“Projek ini amat bermakna kerana ia bukan semata-mata projek kejuruteraan, namun turut memberi sentuhan kemanusiaan dengan memperkenalkan proses rehabilitasi dan latihan secara berperingkat dan berkala,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.