Taktik jual rokok seludup kepada ‘pelanggan tetap’ tumpas - Utusan Malaysia

Taktik jual rokok seludup kepada ‘pelanggan tetap’ tumpas

BAHRIN Mohd. Noh (tengah) bersama rampasan rokok pelbagai jenama dalam serbuan baru-baru ini ketika sidang akhbar di IPD Segamat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Taktik pengedaran dan penjualan rokok seludup hanya kepada pelanggan yang dikenali tumpas dalam serbuan polis di dua buah kedai runcit di Buloh Kasap, di sini, baru-baru ini.

Dalam serbuan melalui Op Kontraban bermula pukul 4.30 sehingga 5.20 petang itu, polis merampas pelbagai jenis rokok yang dianggarkan bernilai RM7,000 dan wang tunai RM2,722 serta sebuah telefon bimbit.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Bahrin Mohd. Noh berkata, polis menahan seorang wanita warga emas berusia 64 tahun dan lelaki tempatan berumur 51 tahun dipercayai pemilik kedai runcit dalam operasi berasingan, Ahad lalu.

“Modus operandi kedua-dua suspek adalah dengan mengecam serta merenung wajah pelanggan terlebih dahulu dalam beberapa saat sebelum berani menawarkan pelbagai jenama rokok tersebut kerana bimbang penyamaran daripada pihak berkuasa, namun ia tidak berhasil.

“Anggota membuat intipan bermula pukul 4 petang sebelum mendapati hanya individu tidak diragui sahaja mendapat rokok dari penjual. Dua premis kedai runcit tersebut menjadikan stor di bilik belakang sebagai lokasi simpanan dalam kegiatan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Bahrin, serbuan dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat itu menemukan sejumlah 260 karton rokok pelbagai jenama yang tidak bercukai.

“Kesemua rokok, wang tunai serta telefon bimbit yang digunakan suspek dirampas untuk tindakan selanjutnya, hasil siasatan awal mendapati mereka mula bergiat aktif hanya beberapa hari lalu.

“Polis masih menyiasat bagaimana cara bekalan itu diperoleh dan kita percaya rokok ini ada peminat tegarnya yang dijual antara RM5 sehingga RM9 sekotak. Suspek juga dipercayai mengambil kesempatan selera ketagihan penggemar yang berbeza-beza memandangkan rokok yang ditemukan membabitkan pelbagai jenama,” katanya.

Bahrin berkata, dua suspek yang ditahan reman itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya