REMBAU: PoliS memberkas seorang lelaki berusia 39 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun membabitkan pemandu teksi dan pemandu e-hailing di daerah ini yang kejadiannya dilaporkan bulan lalu.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, lelaki warganegara tempatan itu ditangkap kira-kira pukul 11.15 pagi semalam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Negeri Sembilan dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Daerah di tepi Jalan PPM 4, Plaza Pandan Malim, Melaka.
Menurutnya, semasa tangkapan dijalankan, polis membuat beberapa rampasan antaranya satu beg, tiga helai seluar jeans, tiga helai baju berkolar, satu keping surat pajak gadai dan telefon bimbit berjenama.
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau untuk siasatan lanjut dan permohonan reman akan dilakukan di Mahkamah Seremban hari ini.
“Kami percaya dengan tertangkapnya suspek ini, polis dapat menyelesaikan beberapa kes samun terhadap pemandu teksi dan e-hailing yang berlaku di daerah Rembau dan di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hazri menambah, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, laman portal ini melaporkan polis giat mengesan seorang lelaki yang merupakan suspek dipercayai terlibat dalam kejadian samun membabitkan pemandu teksi dan pemandu e-hailing di daerah ini. – UTUSAN ONLINE