MELAKA: Kata putus sama ada Barisan Nasional (BN) bergerak solo atau mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bakal ditentukan Khamis ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, keputusan berkenaan ditentukan Majlis Tertinggi (MT) parti, manakala soal pembahagian kerusi pula diputuskan esok oleh Dewan Tertinggi BN.
“UMNO belum lagi memutuskan sama ada bertanding solo atau bergabung dengan mana-mana parti. Kita tunggu keputusan mesyuarat MT, Khamis ini.
“Soal pengagihan kerusi di peringkat BN juga akan diputuskan pada mesyuarat presiden parti yang mana saya dikhabarkan esok,” katanya selepas program Ziarah Kasih bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Masjid Tanah dan Londang, di sini hari ini.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan, tidak akan ada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang PRN Melaka, 20 November ini.
Menurutnya, keputusan itu adalah muktamad seperti mana telah dibuat oleh semua perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020. – UTUSAN ONLINE