Sokongan projek PSR kepada kerajaan negeri bukan pendirian rasmi Pen Mutiara - Utusan Malaysia

Sokongan projek PSR kepada kerajaan negeri bukan pendirian rasmi Pen Mutiara

MAHADI MD. RODZI (tengah) bersama ketua-ketua unit nelayan dalam sidang akhbar mengenai projek tambak laut selatan (PSR) di Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Memorandum sokongan projek tambak laut perairan selatan (PSR) yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bukan mewakili pendirian sebenar Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara). 

Sebaliknya, Pengerusi Pen Mutiara, Mahadi Md. Rodzi berkata, persatuan itu yang mewakili lebih 6,000 nelayan di Pulau Pinang tetap konsisten menolak projek bagi membentuk tiga buah pulau buatan tersebut seperti diputuskan menerusi mesyuarat agung sejak 2016. 

Malah jelas beliau, wakil 14 unit nelayan di kawasan selatan yang terlibat secara langsung dalam projek itu yang dilantik secara sah mengikut perlembagaan juga kekal membantah projek berkenaan. 

“Jadi tidak timbul sebarang isu yang menyatakan masyarakat nelayan menyokong projek tambakan laut itu kerana mereka yang diwakili oleh pihak persatuan masih teguh dalam menolak projek tersebut. 

“Jika ada sebarang usul-usul untuk menyokong projek PSR itu, maka perkara itu perlulah dibuat menerusi mesyuarat agung rasmi. 

“Segala usul yang datang daripada luar mesyuarat adalah tidak sah kerana membelakangkan masyarakat nelayan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Beliau mengulas mengenai tindakan nelayan yang menyerahkan senarai nama dan tandatangan seramai 1,521 penduduk di kawasan selatan Pulau Pinang kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada 7 Oktober lalu yang didakwa menyokong pelaksanaan PSR. 

Kempen mengumpul senarai nama dan tandatangan yang dimulakan seorang nelayan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut mendakwa mendapat sokongan seramai 435 nelayan. 

Mengulas mengenai nelayan yang turut menyerahkan nama dan tandatangan itu, Mahadi berkata, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada mereka merupakan nelayan yang berdaftar dengan mana-mana unit atau kawasan nelayan di negeri ini. 

Malah jelas beliau, penyerahan senarai nama dan tandatangan kepada kerajaan negeri itu juga hanya diwakili oleh seorang nelayan yang telah pun diberikan surat tunjuk sebab atas tindakannya yang disifatkan membelakangkan persatuan nelayan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya