Sokong penyandang kerusi jadi formula Pas - Utusan Malaysia

Sokong penyandang kerusi jadi formula Pas

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Pas memberi jaminan akan mengundi penyandang kerusi sekiranya berlaku pertandingan dua penjuru antara sekutunya, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, formula itu merupakan antara yang akan diguna pakai parti berkenaan sebagai panduan buat 2.2 juta ahlinya pada hari pembuangan undi.

Katanya, Pas teguh dengan pendirian mengekalkan kerusi tradisi parti sama ada miliknya, UMNO mahupun Bersatu.

“Jika dalam PRU lalu, kerusi itu milik UMNO maka kita akan sokong UMNO dan begitulah sebaliknya, kalau milik Bersatu.

“Asas kita dalam muafakat politik adalah untuk mengelakkan tiga penjuru, jadi itu adalah antara kaedah yang akan diambil selain langkah-langkah lain,” katanya dalam sidang akhbar di tapak Pasaraya Wakaf di sini hari ini.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim tidak menolak kemungkinan pertembungan kerusi boleh berlaku sesama sekutunya dalam PRU-15, namun perkara itu akan cuba dielakkan.

Malah, katanya, Pas akan berusaha meminimumkan pertembungan tiga penjuru yang hanya boleh mengundang kekalahan kepada kerajaan sedia ada pada masa ini.

“Saya jangka situasi itu akan ada cuma sedikit dan jika berlaku, kita tidak boleh berbuat apa-apa. Tetapi saya yakin semua orang tidak mahu Pakatan Harapan (PH) menang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN