PETALING JAYA: Sikap jumud segelintir pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman khususnya membabitkan pemain wanita badminton negara, S. Kisona perlu dielakkan.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, semangat kesukanan rakyat Malaysia yang teruja dengan aksi permainan wanita itu sewaktu Piala Sudirman 2021 baru-baru ini telah tercalar dengan komen berunsur perkauman tersebut.
“Janganlah kita sebagai peminat sukan tanah air mengkritik sehingga perkara yang melibatkan agama, bangsa mahupun warna kulit. Menang atau kalah, itu adalah adat permainan dalam sukan.
“Untuk makluman, Kisona adalah seorang pemain wanita muda berusia 23 tahun dan beliau adalah pemain ranking ke-53 dunia, malah bukanlah baharu dalam sukan badminton tanah ai.r Malah antara pemain senior di Persatuan Badminton Malaysia dan merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 serta beberapa kejuaraan antarabangsa yang disertainya sejak 2017 bergelar pemain negara.
“Lebih menarik, Kisona mempunyai kebolehan bertutur dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Kantonis selain bahasa ibundanya, Tamil yang jelas sangat bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam tular dalam media sosial tulisan perkauman oleh Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim terhadap Kisona selepas pemain perseorangan wanita negara itu tewas di tangan pemain Jepun dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland.
Borhanuddin kemudian memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung status perkauman terhadap pemain badminton negara tersebut.

NORLIZA ABDUL RAHIM
Dalam pada itu, Norliza menyeru rakyat Malaysia untuk berdiri teguh di bawah konsep Keluarga Malaysia terutamanya mengelak membuat sebarang kenyataan berunsur perkauman, keagamaan, bahasa dan sebarang bentuk diskriminasi serta penghinaan kepada wanita dan kanak-kanak.
“Penghayatan Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan perlu dipupuk secara berterusan dalam menjayakan aspirasi konsep Keluarga Malaysia sebagai usaha murni bagi semua rakyat berada di bawah gagasan kebersamaan.
“Atas faktor itu, tidak ada sebab kita perlu mengecam, mencemuh, mengkritik yang keterlaluan apatah lagi berunsur perkauman terhadap Kisona yang membawa nama negara dalam Kejohanan Piala Sudirman 2021,” tegas beliau. – UTUSAN ONLINE










