Seolah mengaku kalah sebelum masuk gelanggang - Sultan Johor - Utusan Malaysia

Seolah mengaku kalah sebelum masuk gelanggang – Sultan Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, pihak bertanggungjawab yang cuai dan khilaf dengan tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh perlu dikenakan tindakan.

Baginda mahu penjelasan di sebalik tindakan kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2018 kerana tidak meneruskan permohonan semakan ke atas penghakiman kes pulau itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Titah baginda, tindakan sedemikian seolah-olah ‘mengalah sebelum masuk gelanggang’. 

“Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil sedangkan kita telah menemukan bukti baharu yang berpihak kepada kita. Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan.

“Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu. Adakah kita negeri anak tiri? Kalau tak suka Johor…Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya.

“Saya mahu pasukan petugas khas yang ditubuhkan Perdana Menteri dapat menjelaskan punca kerajaan sewaktu pimpinan Dr. Mahathir menarik balik semakan kes berkenaan,” titah baginda dalam kenyataan, di sini hari ini.


SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim mahu tindakan tegas diambil jika benar berlaku kekhilafan kerana perlu mengambil kira soal kedaulatan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan pilihan bersesuaian dengan turut mendapatkan pandangan pakar undang-undang antarabangsa.

Malah, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad memberitahu, kerajaan negeri memberi jaminan akan bekerjasama dan membantu pasukan petugas khas dalam mencapai matlamat mereka. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN