fbpx

8 Disember 2021, 12:36 pm

  TERKINI

Sentuhan magis Mamat Khalid menjadi – Datuk Lat

LAT ditemui pemberita selepas pengebumian jenazah Mamat Khalid di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh di Ipoh, Perak, hari ini.  - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kartunis tersohor, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Lat menyifatkan Allahyarham Mamat Khalid mempunyai sentuhan magis ke atas setiap karya seninya.

Menurut Lat, kreativiti besar dimiliki adik bongsunya itu menjadikan setiap apa yang dilakukannya menjadi dan menarik perhatian.

“Dari dulu kita tahu dia memang ada darah seni, apa sahaja yang dia pegang contohnya gitar mesti jadi lagu. Begitu juga apabila dia pegang piano.

“Jika dia bercerita pun orang pasti ketawa. Dalam keluarga jika kami dengar cerita dia pun kami akan ketawa. Sikapnya memang kelakar tambahan dia adik bongsu,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh, di sini hari ini.

Lat berkata, adiknya itu banyak mencapai kejayaan menerusi hasil seninya dan sumbangan Allahyarham dalam industri seni juga mendapat sambutan baik masyarakat.

Katanya, Allahyarham seorang yang kuat bekerja sejak muda dan mempunyai karisma sebagai seorang pengarah.

“Jika mahu jadi pengarah filem, kita mesti ada karisma sebab itu saya tidak boleh jadi pengarah. Saya gemar bersendirian, duduk di bucu dan kerja seorang.

“Bagaimanapun, saya bangga dengan karya Allahyarham yang mencerminkan kehidupan masyarakat luar bandar,” katanya.

Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Slim River pada pukul 12.30 tengah malam tadi.

Allahyarham sebelum itu pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim dan dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI