'Saya mangsa salah guna kuasa'-MP Labuan - Utusan Malaysia

‘Saya mangsa salah guna kuasa’-MP Labuan

ROZMAN ISLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli mendakwa pertuduhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya bertujuan untuk memberi tekanan bagi memaksanya meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ketua Whip Warisan ini berkata, kes SPRM itu merupakan satu rencana yang sudah lama dirancang dan ia bermotif politik.

“Mereka mahu saya meninggalkan Warisan dan menyokong kerajaan (Perdana Menteri). Dalam tempoh setahun lapan bulan ini saya dipujuk dan ditawarkan jawatan.

“Jika saya enggan mengalah dengan tekanan dan pujuk rayu mereka maka, pertuduhan ini akan diteruskan di mahkamah bagi menjatuhkan imej saya sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Namun, saya akan hadapi cabaran ini dengan tabah, berani kerana benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hari ini merupakan kali ketiga beliau dipanggil oleh Mahkamah Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan dan kes ini tidak lagi ditangguhkan seperti sebelum ini.

Menurut Rozman, pertuduhan itu menunjukkan penyalahgunaan kuasa di negara ini semakin teruk dan beliau akan terus berjuang menentang penyalahgunaan kuasa.

“Saya akan menentang sebarang salah guna kuasa dan mahu agar reformasi institusi seperti SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan badan kehakiman bebas daripada salah guna kuasa.

“Dalam kes ini saya dituduh menyalah guna kuasa tetapi saya yang menjadi mangsa kepada penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Ketua Bahagian Warisan Labuan berkata, beliau cuma salah seorang daripada sembilan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) kepada Lembaga Pelabuhan Labuan.

Jelas Rozman, keputusan yang dibuat dalam mesyuarat ALP adalah suara majoriti dan beliau menghormati keputusan mesyuarat yang memilih syarikat dari luar Labuan sebagai operator baru Pelabuhan Merdeka Labuan.

Walau bagaimanapun, beliau yakin mahkamah dan hakim akan berlaku adil dalam mengendalikan kes berkenaan dan sekaligus akan membolehkan namanya dibersihkan.

Hari ini, Ahli Parlimen Labuuan ini didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur atas pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi syarikat yang mempunyai kepentingan kepada bapa dan adiknya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN