Sabah perlu tambahan 10 peratus peruntukan pembangunan - Utusan Malaysia

Sabah perlu tambahan 10 peratus peruntukan pembangunan

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Peruntukan pembangunan infrastruktur untuk Sabah dalam Bajet 2022 perlu ditambah 10 peratus hingga 15 peratus bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jika mengambil kira keluasan Sabah dan kemudahan infrastruktur yang masih jauh ketinggalan maka RM5.2 bilion peruntukan pembangunan yang diberikan itu masih tidak mencukupi.

Beliau berkata, projek pembangunan infrastruktur seperti bekalan air dan elektrik, jalan raya serta pembinaan jambatan memerlukan dana yang besar setiap tahun.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya negeri memberitahu, walaupun banyak projek perlu pembiayaan pada tahun depan namun, masih banyak lagi peruntukan diperlukan untuk Sabah.

“Tidak dinafikan kerajaan Pusat memberi keutamaan untuk melaksanakan projek mendesak seperti menaik taraf sekolah daif tetapi, ada beberapa lagi perkara yang perlu diberikan perhatian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pembentangan Bajet 2022 semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kenaikan peruntukan kepada RM5.2 bilion bagi Sabah untuk pembangunan kemudahan asas, infrastruktur, air dan elektrik, selain kemudahan pendidikan serta kesihatan.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan Pusat juga perlu memberi perhatian kepada usaha mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

Walau bagaimanapun, dalam bajet tahun hadapan peruntukan projek pembangunan infrastruktur negara bernilai RM3.5 bilion dan ia termasuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

“Kita mahu projek Lebuhraya Pan Borneo ini dilaksanakan segera, bukan pakej demi pakej yang diberi peruntukan setiap tahun. Kalau hanya satu atau dua pakej diberikan setahun, berpuluh tahun pun belum siap lagi,” katanya.

Sekiranya peruntukan pembangunan Sabah tidak ditambah, usaha menyediakan kemudahan infrastruktur asas, internet, Pendidikan dan kesihatan awam tidak dapat diberi perhatian secukupnya. Maka, usaha membawa rakyat keluar daripada kemiskinan tidak dapat dilakukan. 

Jelas beliau, peningkatan kemudahan infrastruktur akan menjadi pemacu perubahan kepada sosioekonomi di Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN