KOTA KINABALU: Agihan peruntukan pembangunan untuk Sabah seharusnya lebih besar bagi menyokong pengumuman Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk menyediakan peruntukan besar bagi enam negeri kurang membangun.
Pakar Ekonomi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Rafiq Idris berkata, agihan lebih besar wajar diberi pertimbangan berdasarkan masalah kekurangan kemudahan infrastruktur yang dihadapi di Sabah.
Jika dilihat pendapatan per kapita Sabah dilaporkan berjumlah RM21,626 pada tahun 2020 iaitu kedua terendah di Malaysia.
“Maka, kita perlu meningkatkan pendapatan per kapita ini lebih sekali ganda bagi membolehkan kita mengecap status negeri berpendapatan tinggi.
“Justeru, saya mengharapkan bajet akan datang diselaraskan dengan usaha untuk membantu merapatkan jurang antara wilayah dengan lebih serius.
“Walau bagaimanapun, saya menyambut baik pembentangan Bajet 2022 dan saya sifatkan ia sebagai usaha serius Kerajaan Persekutuan bagi mewujudkan keluarga Malaysia yang sejahtera dan makmur selaras dengan temanya.
“Malah, saya melihat bajet kali ini mempunyai ciri-ciri inklusif, berkebajikan dan mempunyai perancangan fiskal yang akan menyokong pemulihan ekonomi negara merentasi sempadan perbezaan agama, bangsa dan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rafiq berkata, peruntukan yang diberikan dalam bajet tahun hadapan akan melengkapi usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan pelan pembangunan ekonomi di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ).
Namun, ia bergantung kepada ketersediaan peruntukan berkenaan, sama ada awal mahupun hujung tahun. Lebih awal peruntukan itu tersedia dan dibelanjakan maka, lebih besar impaknya pada tahun hadapan dan sudah tentu terdapat juga faktor-faktor lain turut menyumbang.
Mengulas lanjut katanya, peruntukan besar sejumlah RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan menunjukkan pendidikan dan sumbangan sektor pendidikan amat penting kepada ekonomi dan rakyat di negara ini.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS ini berharap peruntukan kepada universiti-universiti di Sabah akan ditingkatkan berbanding jumlah diterima sebelum ini. Diharap tiada pemotongan peruntukan dilakukan.
“Saya juga menyambut baik peruntukan bagi menaik taraf sekolah-sekolah daif dan diharap isu-isu berkaitan infrastruktur dan sekolah-sekolah daif tiada lagi di Sabah selepas ini.
“Inilah semangat RMK-12 dan Keluarga Malaysia yang kita mahukan supaya semua rakyat dapat menikmati kemudahan yang sama rata. Janganlah penduduk di bandar sahaja menikmati kualiti pendidikan yang baik. Semua rakyat Malaysia seharusnya menikmati perkhidmatan pendidikan berkualiti dan wujud peluang yang sama rata,” katanya.