KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Warga Emas dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, kajian terhadap rang undang-undang itu selesai pada 1 Oktober lalu dan kini dalam proses untuk dibentangkan.
“Kerajaan sangat peka dengan keperluan warga emas dan kita telah membuat kajian untuk mewujudkan satu akta khusus untuk warga emas,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Fadhlina Sidek sama ada kerajaan berhasrat mewujudkan satu undang-undang khas berkaitan pembelaan dan perlindungan warga emas yang terkait rapat dengan pengabaian.
Sementara itu, Siti Zailah dalam sidang akhbarnya berkata, pihaknya berhasrat mewujudkan sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bagi setiap Parlimen di seluruh negara, menjelang status negara tua pada 2030.
“Sehingga Ogos 2021, seramai 49,675 warga emas berdaftar dengan 143 buah PAWE sedia ada di seluruh negara. Tahun ini, kerajaan memperuntukkan pertambahan 10 lagi PAWE baharu.
“Kerajaan juga berhasrat menyediakan 222 buah PAWE dengan satu Parlimen mempunyai satu PAWE dan setakat ini 131 kawasan Parlimen telah mempunyai PAWE,” katanya. – UTUSAN ONLINE