PETALING JAYA: Glomac Berhad (Glomac) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM33.4 juta bagi tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 30 April 2025 daripada RM32.9 juta pada tempoh sama tahun sebelum.
Ia disumbang oleh margin yang lebih kukuh daripada pembangunan bernilai tinggi, keuntungan daripada pelupusan harta pelaburan, dan kos kewangan yang lebih rendah.
Pemaju hartanah berkata, kumpulan turut mencatatkan pendapatan sebanyak RM 238.3 juta, pendapatan tidak diaudit sebanyak RM74.9 Juta dan PBT bagi suku keempat 2025 sebanyak RM 12.1 juta.
“Pendapatan yang kukuh ini disumbang oleh aktiviti pembinaan berterusan, termasuk projek-projek pembangunan di Saujana Perdana, Lakeside Residences dan Plaza@Kelana Jaya.
“Selain itu, Glomac telah berjaya melengkapkan dan menyerahkan beberapa projek termasuk, 121 Residences, sebuah pembangunan residensi bertingkat tinggi dengan nilai pembangunan sasar (GDV) kira-kira RM334 Juta.
“Hal ini mencerminkan iltizam berterusan kumpulan dalam memastikan pelaksanaan projek disiapkan mengikut jadual sambil menepati standard kualiti yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, katanya, kedudukan kewangan Glomac terus menunjukkan perkembangan yang mapan dengan penggearan bersih menghampiri sifar dan dana pemegang saham sejumlah RM1.2 bilion.
“Setakat 30 April 2025, wang tunai dan baki bank berjumlah RM235.7 juta, menyediakan tahap kecairan yang kukuh bagi menyokongpembangunan berterusan dan strategi peluasan tanah kumpulan.
“Aset bersih sesaham yang boleh diagihkan kekal pada RM1.56, ini menunjukkan nisbah harga kepada buku (price-to-book ratio) dalam anggaran 0.20 kali,” ujarnya.
Mengulas prospek tahun kewangan 2026, Glomac berkata, kumpulan terus mengekalkan momentum pelancarannya dan akan terus mengamalkan pendekatan yang berdisiplin serta sejajar dengan keperluan pasaran dalam memperkenalkan produk baharu.
“Glomac sedang merancang pelancaran baharu dengan GDV danggarkan sebanyak RM324 Juta, merangkumi sepenuhnya hartanah residensi teres.
“Agenda utama pelancaran meliputi dua fasa baharu teres dua tingkat di Serai@SBCR dan sebuah fasa baharu rumah berkembar di KEYS, Lakeside Residences,” katanya.
Glomac telah mencadangkan pembayaran dividen sebanyak 1.25 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan 2025 dan tertakluk kepada pemuktamadan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan yang akan diadakan.
Ini susulan pembayaran dividen satu peringkat sebanyak 1.0 sen sesaham yang diisytihar dan dibayar pada 30 Disember 2024, menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran dividen bagi tahun kewangan tersebut sebanyak 2.25 sen sesaham bagi tahun kewangan 2024.-UTUSAN










