Rugi RM15,000 ditipu individu menyamar wakil Perqaseh - Utusan Malaysia

Rugi RM15,000 ditipu individu menyamar wakil Perqaseh

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Polis mengesan satu kes penipuan menggunakan nama Pertubuhan Kebajikan Nurqaseh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Perqaseh untuk menipu orang ramai dengan meminta sumbangan wang. 

Penipuan itu dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur selepas menerima satu laporan polis daripada seorang peniaga barangan terpakai (second-hand) pada 15 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, mangsa dikatakan telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai kerajaan dengan tujuan meminta sumbangan ke tabung Perqaseh pada awal April lalu.

Kata beliau, mangsa dijanjikan dengan membuat sumbangan, ia akan memudahkan mangsa mendapatkan lesen bagi menjalankan perniagaan barangan lusuh.

“Sejak April sehingga September lalu, mangsa telah membuat tiga transaksi berjumlah keseluruhan RM 15,000 dalam bentuk tunai kepada empat individu yang mengaku sebagai wakil Perqaseh.

“Mangsa sedar dirinya ditipu kerana masih tidak menerima lesen seperti dijanjikan dan siasatan awal pihak polis dengan pihak Perqaseh mengesahkan tidak menerima sebarang sumbangan dalam bentuk tunai. 

“Justeru itu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari  ini.

Dalam pada itu, Mohd. Mahidisham mengingatkan orang ramai bahawa PDRM tidak pernah melantik mana mana individu, syarikat atau persatuan dan tidak pernah menetapkan sebarang sumbangan untuk menerima, memproses atau meluluskan permohonan bagi mendapatkan lesen barangan lusuh. 

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat permohonan lesen mengikut saluran yang ditetapkan dan tidak melalui individu atau pertubuhan tertentu. 

“Orang ramai juga diminta segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada menerima tawaran ataupun mempunyai sebarang maklumat tentang perkara ini. 

“Sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 0585 atau mana-mana balai polis berdekatan,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN