Mara peruntuk RM70 juta bantu usahawan automotif

Mara peruntuk RM70 juta bantu usahawan automotif

MAHDZIR Khalid (kiri) diberi penerangan oleh Mohd. Izwan Mazlan mengenai operasi pusat servis PMH oleh di Lencongan Barat, Alor Setar, hari ini. - FOTO/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Majlis Amanah Rakyat (Mara) membiayai peruntukan kira-kira RM70 juta menerusi Mara Integrated Smart Auto (MISA) bagi membantu usahawan dalam bidang automotif memperkembangkan perusahaan mereka sejak mula diperkenalkan pada 2013.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sehingga kini, sebanyak 48 usahawan automotif di seluruh negara mendapat manfaat daripada program bantuan tersebut.

Katanya, ekosistem lengkap Mara dalam membangunkan industri automotif bermula dengan pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang menyediakan program automotif dalam pelbagai peringkat sehinggalah kepada penyediaan fasiliti keusahawanan antaranya merangkumi latihan, bantuan pembiayaan dan khidmat nasihat.

“Malah skim pembiayaan juga disediakan khusus untuk para usahawan mengembangkan perniagaan dan menaik taraf bengkel mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pusat servis Perniagaan Mazlan dan Hashimah (PMH) Sdn. Bhd. di Lencongan Barat, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PMH, Mohd. Izwan Mazlan.

Mahdzir berkata, beberapa program khas turut dibangunkan bagi memantapkan lagi usahawan dalam bidang berkenaan antaranya Program Pembangunan Usahawan Automotif Mara Petronas (PIMP), program khas Auto Glass Expert (AGE) dan pelbagai program keusahawanan yang menyasarkan pengembangan perniagaan dan industri automotif.

Jelasnya, automotif merupakan antara salah satu bidang TVET yang mendapat sambutan memberangsangkan dengan memberi fokus kepada dua elemen utama iaitu melahirkan tenaga kerja profesional serta berkemahiran dan membimbing individu yang berkemahuan menjadi usahawan dalam bidang berkenaan.

“PMH merupakan salah satu contoh usahawan berjaya yang dibimbing Mara, di mana ia hasil kegigihan seorang anak muda yang merupakan bekas pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menambah baik prestasi pusat servis ini,” ujarnya.

Tambahnya, Mara menyediakan pelbagai bantuan termasuk untuk pembelian peralatan, modal pusingan, pengubahsuaian bengkel serta menyediakan siri latihan peningkatan perniagaan.

“Mara akan terus komited untuk membantu usahawan-usahawan yang berminat untuk mengembangkan sayap perniagaan masing-masing agar lebih berdaya saing dan maju,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.