RM52.78 juta biayai 70 syarikat kembangkan inovasi - Utusan Malaysia

RM52.78 juta biayai 70 syarikat kembangkan inovasi

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM52.78 juta untuk membiayai 70 syarikat bagi mengembangkan inovasi melalui rakan pembiayaan utama iaitu Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia melalui Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) iaitu suatu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Menurutnya, 69 syarikat yang lain turut mendapat sokongan teknikal, pengawalseliaan, sokongan tapak pengujian atau dirujuk kepada organisasi pemberian dana yang mempunyai kerjasama strategik dengan NTIS.

“NTIS adalah antara instrumen utama yang dikenal pasti kementerian untuk merealisasikan matlamat Pemecutan Penerapan Teknologi dan Inovasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Enam sasaran ditetapkan termasuk pengkomersialan 500 produk dan penyelesaian melalui NTIS dan Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) menjelang 2025,” katanya ketika melancarkan Laporan Satu Tahun 2020-2021 serta laman sesawang NTIS, hari ini.

Adham berkata, NTIS menerima lebih 500 permohonan lengkap daripada pelbagai jenis syarikat Malaysia yang berhasrat untuk mendapatkan pembiayaan, sokongan teknikal serta pengkomersialan.

Katanya, menerusi jumlah tersebut, sebanyak 139 syarikat berjaya diserap ke dalam program NTIS antara Ogos 2020 dan Julai lalu.

“Objektif utama NTIS adalah untuk memangkin pembangunan syarikat pemula teknologi (tech startup) melalui pembangunan produk serta penyelesaian yang inovatif, penerapan teknologi tinggi.

“Selain itu ia juga berperanan sebagai sokongan pengkomersialan dan bantuan dana pertumbuhan (seeding fund) sebagai persediaan memasuki pasaran yang lebih besar dan berdaya saing,” jelasnya.

Tambahnya, sebanyak 50 peratus daripada projek NTIS yang mendapat kelulusan merangkumi sektor perubatan dan kesihatan, pertanian dan perhutanan serta kejuruteraan pintar dan pembuatan.

Jelasnya, 50 peratus lagi adalah berkaitan sistem lanjutan pinta dan NTIS turut mendapat sokongan 26 kementerian, dua agensi kerajaan dan 26 rakan Innovation Acceleration Network (IAN).

“Antara syarikat teknologi Malaysia yang mendapat perhatian antarabangsa adalah Aerodyne Group, yang menerajui perkhidmatan dron dan pengurusan data di dalam bidang DT3 (Drone Technology, Data Technology and Digital Transformation).

“Selain itu, Biogenes Technology yang merupakan salah satu syarikat pemula pertama di dunia yang berjaya menghasilkan alat ujian pantas digital COVID-19 dengan menggunakan teknologi aptamer,”  jelasnya.

Menurut Adham, terdapat empat Sandbox Inovasi NTIS iaitu di Sandbox Pertanian di FELDA Mempaga, Pahang; Sandbox Robotik dan Automasi di Zon Dron dan Robotik Iskandar; Sandbox Logistik untuk dron penghantaran urban di Cyberjaya dan Area 57 iaitu pusat sehenti yang pertama untuk inovasi Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV dan UAS) di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil.

“MOSTI yakin dengan pembangunan pelbagai penyelesaian berimpak tinggi dan usaha meningkatkan skala nilai komersial, peluang menjana pendapatan melalui penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta berpendapatan tinggi dapat meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya