LANGKAWI: Industri pelancongan di sini berjaya menjana pendapatan kira-kira RM15.97 juta melalui projek rintis gelembung pelancongan yang bermula pada 16 September lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, projek rintis tersebut telah mencapai satu kejayaan yang boleh dibanggakan.
“Sehingga 30 September, Langkawi telah menerima seramai 38,748 pelancong secara keseluruhan iaitu melebihi daripada jumpah sasaran sekitar 30,000 orang.
“Jika jumlah sebegini dapat dikekalkan, tidak mustahil sasaran pihak kerajaan untuk menerima 400,000 pelancong sehingga Disember tahun ini dapat dicapai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nasaruddin, daripada jumlah itu, sebanyak 26,377 orang masuk ke sini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala 7,480 orang menggunakan Terminal Feri Kuah dan 4,891 orang masuk melalui Jeti Tanjung Lembong.
Jelas Nasaruddin lagi, pembukaan semula Langkawi dilihat dapat menjana kembali pendapatan penduduk di sini.
“LADA juga menyasarkan sebanyak 60,000 orang pelancong akan mengunjungi pulau ini pada Oktober,” ujarnya.
Sementara itu, beliau menambah, LADA juga sedang berusaha untuk melaksanakan gelembung pelancongan antarabangsa dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tambahnya, gelembung pelancongan antarabangsa itu kini sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, beberapa negara seperti Rusia, Poland, Singapura dan China telah menyatakan hasrat untuk menjadi tetamu terawal yang boleh melancong ke sini.
“Rundingan juga telah dibuat dengan syarikat penerbangan antarabangsa dan tempatan untuk merancang penerbangan berjadual dan penerbangan sewa khas bagi gelembung pelancongan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN