PADANG TERAP: Ketetapan sama ada UMNO akan bergerak secara solo di bawah panji Barisan Nasional (BN) atau ‘duduk’ bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih belum diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu tidak diputuskan pada Mesyuarat MKT UMNO yang diadakan tiga hari lalu.
Menurutnya, beliau percaya perkara tersebut akan dibincangkan semula oleh MT UMNO apabila tiba masanya nanti.
“Saya tak fikir kita dah ada keputusan menyatakan UMNO akan berdepan PRN Melaka secara solo. Kita masih ada masa lagi dan akan cari kaedah terbaik untuk Melaka.
“Setakat ini tiada keputusan berhubung perkara itu termasuk dalam MKT tiga hari lepas. Sebab itu anda tak lihat sebarang kenyataan berhubung perkara itu selepas mesyuarat tersebut dilangsungkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian bantuan pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Risda Negeri Kedah di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka di sini hari ini.
Pada majlis itu, Mahdzir juga menyampaikan Bantuan Musim Tengkujuh peringkat Nasional 2021 Pekebun Kecil Risda berjumpa RM191,185,200.
Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim; Pengerusi Risda, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif dan Ketua Pengarah Risda, Abdullah Zainal.
Ketika diwawancara menerusi program ‘Jawab, Saya Tanya’ yang disiarkan secara dalam talian baru-baru ini, Presiden UMNO , Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan BN akan bertanding secara bersendirian pada PRN Melaka tanpa kerjasama parti lain termasuk Pas.
Menurut Ahmad Zahid, antara punca tiada kerjasama dengan Pas ialah Muafakat Nasional (MN) itu sendiri tidak pernah didaftarkan.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyebut tentang pengkhianatan berulang kali terhadap UMNO sewaktu mengulas berkaitan MN namun beliau tidak memperincikan maksud kenyataan tersebut.
Ditanya mengenai kenyataan dibuat Ahmad Zahid itu, Mahdzir berkata, keputusan tersebut akan diputuskan di peringkat MKT UMNO nanti.
“Itu keputusan MKT. Presiden ada buat kenyataan tetapi beliau pulangkan semula kepada MKT untuk buat keputusan,” katanya.










