PRN Melaka langgar MoU kerajaan-pembangkang - Utusan Malaysia

PRN Melaka langgar MoU kerajaan-pembangkang

HASSAN Abdul Karim (kanan) mendengar keluhan pembeli yang berdepan masalah rumah terbengkalai di Taman Seri Molek Perdana, Plentong, Johor. - UTUSAN/MOHAMAD FAIZAL HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Kerajaan Persekutuan secara tidak langsung akan melanggar perjanjian dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik sekiranya melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Beliau berkata, ini kerana antara perkara utama yang dimeterai dalam MoU itu pada 13 September lalu adalah tidak mengadakan pilihan raya sehingga 31 Julai tahun depan.

Katanya, syarat itu juga terpakai di peringkat negeri dan sekiranya mengadakan PRN, ia melanggar perjanjian yang telah dipersetujui.

“Kita mesti menghayati semangat memorandum ini dengan tidak mengadakan PRN. Kerajaan perlu isytihar darurat di Melaka segera bagi mengelak PRN diadakan walaupun Melaka akan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi.

“Kerajaan perlu bertanggungjawab dan Perdana Menteri sewajarnya memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Melaka,” katanya selepas bertemu dengan pembeli rumah terbengkalai di Taman Seri Molek Perdana, Plentong di sini hari ini.

Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) memuktamadkan MoU itu yang merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19; Transformasi Pentadbiran; Pembaharuan Parlimen; Kebebasan Institusi Kehakiman; Perjanjian Malaysia MA63; dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Mengulas lanjut, Hassan memberitahu, keputusan untuk tidak mengadakan PRN di Sarawak sebelum ini perlu dijadikan contoh sebagai langkah yang tepat sekaligus memberi ruang kepada negeri tersebut menumpukan usaha memerangi Covid-19. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN