Polis serbu pusat karaoke langgar SOP Fasa 2 PPN

Polis serbu pusat karaoke langgar SOP

BEBERAPA individu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Mergong, Alor Setar. - FOTO/NUR ANATI JUHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 21 pelanggan sebuah pusat karaoke di sini terkejut apabila premis tersebut diserbu sepasukan polis malam semalam.

Sepasukan polis menyerbu pusat hiburan tersebut setelah didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana beroperasi ketika negeri ini masih berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam serbuan pada pukul 10 malam itu, seramai 24 individu terdiri daripada penganjur, pekerja dan pelanggan premis dikenakan kompaun.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan dijalankan hasil risikan  mengenai aktiviti berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Kata beliau, antara kesalahan yang dilakukan ialah belum menerima suntikan vaksin, gagal mendaftar MySejahtera serta tiada penjarakan fizikal.

“Seramai 21 individu iaitu pelanggan terdiri daripada 15 lelaki dan enam perempuan berusia lingkungan 20-an hingga 40-an dikompaun RM2,000 seorang.

“Sementara penganjur serta pekerjanya pula dikenakan dikompaun sebanyak RM25,000,” katanya kepada pemberita selepas menyertai serbuan tersebut di sini, malam semalam.

Menurutnya, pihaknya juga mendapati seorang pekerja di premis berkenaan adalah warga Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah serta tiada permit bekerja selain tidak divaksinasi. 

“Penganjur menggunakan taktik dengan membuka premis lebih awal iaitu pada sebelah petang dan menutupnya sebelum pukul 12 tengah malam.

“Pintu utama premis juga tidak dibuka supaya nampak seperti tidak beroperasi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua individu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk saringan ujian air kencing dan tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN