Polis Perak cadang tamatkan SJR antara daerah - Mior Faridalathrash

Polis Perak cadang tamatkan SJR antara daerah

MIOR FARIDALATRASH WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak bercadang menamatkan sekatan jalan raya (SJR) antara daerah selepas kadar vaksinasi di negeri ini berada pada tahap yang memuaskan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, SJR antara negeri bagaimanapun akan dikekalkan melibatkan kawasan bersempadan negeri lain iaitu Pahang, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Selangor.

Katanya, kajian semula akan dilakukan mengenai perkara itu sebelum dibawa kepada urusetia Covid-19 Perak untuk perbincangan.

“Kita bercadang kalau kadar vaksinasi di Perak sampai ke satu tahap yang baik dan kita berpuas hati, mungkin SJR antara daerah akan dibubarkan tetapi di sempadan negeri, kita kekalkan.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada kadar vaksinasi dan kelulusan daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program Pemantauan Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Michael, di sini hari ini.

Menurut Mior Farid, penamatan SJR antara daerah akan membolehkan anggota memberi tumpuan pada tugasan lain bagi mengawal kadar jenayah di negeri ini.

Katanya, susulan penamatan itu nanti, pihaknya juga bercadang untuk mewujudkan lebih banyak pasukan pemantau untuk memastikan SOP bagi mencegah penularan wabak Covid-19 kekal dipatuhi.

“Di perak, ada 15 daerah dan kalau kita bubarkan SJR ini, kita boleh beri tumpuan pada tugasan lain dalam memastikan kita dapat kawal kadar jenayah.

“Apabila orang sudah boleh bergerak (kelonggaran rentas negeri) penjenayah pun akan bergerak sama untuk melakukan jenayah. 

“Jadi, kita akan tambah baik usaha mengawal jenayah dalam memastikan rakyat di negeri ini berasa selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN