PICK 2021  lindungi warga emas, kurangkan kematian - Utusan Malaysia

PICK 2021  lindungi warga emas, kurangkan kematian

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan, seramai 177,220 warga emas (7.9 peratus) dijangkiti pandemik Covid-19 dengan 106 kluster melibatkan golongan itu, sehingga 30 September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, warga emas antara kumpulan yang banyak terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Katanya, sehingga Minggu epidemiologi (ME) ke-38, sebanyak 14,248 (56.6 peratus) kes kematian Covid-19 melibatkan warga emas telah dilaporkan, namun ia menunjukkan penurunan selaras dengan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 2021 (PICK).

“Sehingga 29 September lalu, seramai 3,148,438 (87.4 peratus) warga emas lengkap divaksin dan seramai 3,365,443 (93.4 peratus) warga emas menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Bagi penghuni dan penjaga di pusat jagaan warga emas telah menerima dos lengkap vaksin melibatkan seramai 19,641 (66.8 peratus) sehingga 26 September. Malah, sejak PICK fasa 2 yang bermula April lalu, golongan warga emas dan rentan telah mula menunjukkan tanda-tanda keberkesanannya. Statistik daripada Hospital Sungai Buloh menunjukkan penurunan ketara kemasukan pesakit warga emas ke hospital bagi kategori empat dan lima berbanding golongan dewasa berumur 20 hingga 59 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sempena Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan diadakan pada 1 Oktober setiap tahun dengan tema Kesaksamaan Digital Merentasi Usia.

Noor Hisham berkata, warga emas lebih berisiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 dan mengalami komplikasi yang teruk berbanding golongan lain malah jangkitan bertambah teruk sekiranya golongan itu mempunyai komorbiditi seperti penyakit kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, dan barah.

Katanya, sekiranya dijangkiti maka proses penyembuhan dan pemulihan juga lebih perlahan dan rumit maka atas faktor itulah, warga emas amatlah disaran mendapatkan vaksin awal.

“Warga emas juga dinasihatkan melakukan saringan kesihatan berkala bagi mengesan penyakit tidak berjangkit dan mendapatkan nasihat serta rawatan awal.

“Selain itu, golongan itu perlu mengamalkan gaya hidup sihat manakala semua ahli keluarga pwrlu memainkan peranan yang amat penting dalam sokongan sosial, mental, dan fizikal kepada warga emas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN