PH boleh menang di Melaka jika tidak letak calon lompat

PH boleh menang di Melaka jika tidak letak calon lompat

HASSAN Abdul Karim (depan, tengah) menyampaikan sumbangan kerusi roda daripada Pejabat Parlimen Pasir Gudang dan Pejabat ADUN Johor Jaya di Pusat Dialisis Lion Club, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya UMNO tetap dengan keputusan bertanding secara berasingan tanpa gabungan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan perkara itu sebagai satu isyarat kepada PH untuk menggunakan peluang tersebut sebaiknya dengan meletakkan calon yang benar-benar layak.

Katanya, beliau berharap PH tegas dengan pendirian untuk tidak mengambil calon yang terkenal dengan tindakan melompat parti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sejujurnya pada pandangan peribadi saya, saya tidak bersetuju dengan keputusan PRN Melaka yang akan diadakan dalam tempoh pandemik Covid-19 masih berlarutan ini.

“Namun keputusannya sudah dibuat dan PRN Melaka akan tetap diadakan, jadi kita akan patuh dengan kepimpinan peringkat pusat, jika mereka perlukan bantuan kita akan bantu.

“Keputusan UMNO untuk tidak bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memberi peluang kepada PH, tetapi perlu meletakkan calon yang baik, jangan calon yang melompat-lompat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Pejabat Parlimen Pasir Gudang dan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya di Pusat Dialisis Lion Club, Johor Jaya, di sini hari ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan pihaknya tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka 20 November ini seperti ketetapan yang telah dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 lalu.

Tambah Hassan, perkembangan tersebut akan memberi kelebihan kepada PH untuk kembali menjadi kerajaan negeri di Melaka seperti ketika mereka menerima mandat rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, Hassan turut menepis cakap-cakap bahawa Pas akan memainkan peranan utama dalam kerjasama antara UMNO dan Bersatu, sebaliknya parti itu hanya akan menyokong mana-mana pihak yang akan memberi peluang kemenangan kepada mereka.

Katanya, Pas dilihat hanya akan menyokong mana-mana pihak yang akan membolehkan mereka kekal sebagai kerajaan.

“Parti itu juga bukanlah penentu seperti yang dikatakan kerana mereka tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat khususnya di negeri pantai barat termasuk di Melaka.

“Mereka bukanlah ‘king-maker’ sebaliknya adalah ‘destroyer’ yang telah bersekongkol untuk menjatuhkan kerajaan PH yang telah diberi mandat secara sah oleh majoriti rakyat negara ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×