Peniaga mengaku salah rasuah penguat kuasa kastam 

Peniaga mengaku salah rasuah penguat kuasa kastam 

WONG Kok Hong (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban bagi didakwa atas pertuduhan memberi rasuah RM4,000 kepada anggota kastam. - FOTO/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang peniaga mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberikan suapan berjumlah RM4,000 kepada seorang penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) supaya tindakan tidak diambil terhadapnya yang memiliki sejumlah minuman keras, dua tahun lalu.

Tertuduh, Wong Kok Hong, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Madihah Harullah.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan hukuman ke atasnya diputuskan pada 17 November depan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah secara rasuah memberikan suatu suapan iaitu wang tunai RM4,000 kepada seorang ejen kerajaan iaitu Pembantu Penguasa Kastam Gred WK22 dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan.

Suapan itu sebagai dorongan kepada anggota kastam untuk tidak melakukan suatu perkara yang berhubungan dengan hal ehwal prinsipalnya, iaitu tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas tertuduh yang telah melakukan kesalahan memiliki barang larangan kastam iaitu sejumlah minuman keras di bawah Seksyen 135 (l) (d) Akta Kastam 1967.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 26633, Kilometer 8.8 Jalan Kuala Sawah di sini pada pukul 2 petang, 23 Oktober 2019.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit bersalah, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohmad Ali menawarkan jaminan RM10,000 ke atas tertuduh sebelum hukuman diputuskan mahkamah pada prosiding bulan depan.

Kok Hong yang tidak diwakili peguam kemudiannya memohon jaminan dikurangkan atas alasan dia menjaga keluarga selain pendapatannya terjejas ketika ini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 beserta syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Negeri Sembilan sehinga kes selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya