PUTRAJAYA: Tindakan seorang peniaga yang menjalankan perniagaan dan promosi secara dalam talian produk daging rusa palsu melalui satu platform e-dagang terbongkar selepas ditahan di premisnya Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, Selangor.
Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang pengguna berkaitan daging tersebut disyaki bukan daging rusa sebenar seperti yang dipromosikan oleh peniaga terbabit di dalam platform perniagaan dalam taliannya.
Katanya, kementerian menjalankan siasatan dan melakukan uji beli daging rusa tersebut dan sampel daging rusa itu dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian kecerakinan.
“Hasil laporan kimia yang dikeluarkan Jabatan Kimia Malaysia mendapati, sampel daging rusa tersebut adalah daging kerbau berdasarkan DNA (asid deoksiribonukleik) yang dikesan melalui sampel itu dan bukan daging rusa seperti yang dipromosikan oleh peniaga terbabit kepada pengguna melalui perniagaan dalam taliannya,” jelasnya menerusi kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, susulan daripada laporan tersebut, sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDNHEP telah bertindak melakukan serbuan ke atas premis terbabit di Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, Selangor.
Tambahnya, hasil pemeriksaan, pasukan serbuan menemukan beberapa ketul daging sejuk beku yang dinyatakan daging rusa oleh pemilik premis di dalam sebuah peti sejuk beku dalam bentuk ketulan seberat satu kilogram setiap satunya.
“Kesemua daging tersebut bersama dokumen-dokumen perniagaan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,004.00.
“Siasatan awal mendapati, modus operandi peniaga terbabit adalah menjual dan mengiklankan daging rusa sejuk beku secara dalam talian untuk pasaran tempatan pada harga RM42 sekilogram,” katanya.
Azman berkata, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(1)(b) Larangan Perihal Dagangan Palsu iaitu membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang-barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011. – UTUSAN ONLINE










