SHAH ALAM: Pengguna yang tinggal dalam 998 kawasan terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual dijangka mendapat bekalan secara berperingkat mulai petang ini.
Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor) dalam satu kenyataan memberitahu, pengguna mulai dapat bekalan air pada pukul 5 petang namun bergantung kepada kawasan terjejas yang berbeza berdasarkan beberapa faktor.
“Pemulihan berbeza mengikut kawasan disebabkan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
“Selain itu faktor muka bumi, jarak jajaran paip dan jarak lokasi premis pengguna akan menentukan tempoh air mula boleh dibekalkan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, Air Selangor berharap agar para pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.
Sehubungan itu, pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.










