Penggiat seni perlu patuhi SOP ketika set penggambaran

Penggiat seni perlu patuhi SOP

ERMA Fatima yang terkenal dengan jolokan watak ‘Mok Cun’ merasmikan tapak niaga pasar tani pertama Mak Cun di perkarangan Stadium Shah Alam, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Semua penggiat seni termasuk penerbit dan pengarah drama diminta sentiasa mengutamakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Pematuhan itu termasuk melakukan ujian kendiri Covid-19 dan memakai pelitup muka di sesebuah set penggambaran sama ada melibatkan selebriti atau kru bertugas.

Pengarah, penerbit dan pelakon terkenal, Erma Fatima, 53, berkata, penggiat seni perlu menghargai peluang keemasan diberikan kerajaan yang memberi kelonggaran kepada industri  hiburan untuk kembali beroperasi bulan lalu.

“Sebagai contoh, penerbit atau pengarah perlu memastikan semua individu yang berada di set penggambaran mematuhi SOP ditetapkan.

“Selain memakai pelitup muka, mereka seharusnya menjalani ujian swab sebelum atau selepas sesebuah sesi penggambaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan tapak niaga pasar tani pertama Mak Cun di perkarangan Stadium Shah Alam, di sini hari ini.

Pada 9 September lalu, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran SOP kepada pengoperasian industri kreatif tempatan.

Kelonggaran itu antaranya aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi dengan penonton yang lengkap divaksin serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis.

Ia termasuk penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton yang lengkap divaksin.

Mengulas lanjut, kata Erma, pengambilan vaksin dianggap subjektif namun semua pihak wajib mematuhi semua SOP ditetapkan kerajaan.

“Kita kini bukan mahu lari daripada Covid-19 tetapi hidup dengan pandemik itu. Justeru, kita perlu memikirkan keselamatan diri sendiri dengan terus menjaga SOP berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, kelonggaran dinikmati perlu digunakan sebaik mungkin penggiat seni terutama kru penggambaran yang terjejas sumber pendapatan akibat pandemik sebelum ini.

Dalam pada itu, Erma yang juga Pengarah Urusan Mak Cun Mart, pihaknya turut akan membuka enam tapak niaga pasar tani di seluruh Selangor dengan memasarkan produk keluaran industri kecil dan sederhana (IKS). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya