GEORGETOWN: Mana-mana penduduk Pulau Pinang termasuk remaja berusia 12 tahun hingga 17 tahun yang layak dan belum memperoleh sebarang janji temu vaksinasi dibenarkan hadir terus (walk in) ke semua Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini bermula esok.
Dalam masa sama, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, operasi 10 buah PPV di negeri itu seperti biasa sehingga selesai suntikan dos kedua dan tidak ditamatkan sepertimana ditularkan.
Jelasnya, PPV terlibat adalah di Tapak Pesta Sungai Nibong; Kompeks Sukan Balik Pulau; SPICE Arena; Dewan Millenium; Pusat Konvensyen Perda; Seberang Perai Arena; Tapak Ekspo Seberang Jaya; Vangohh Eminent; Dewan Serbaguna Jawi dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap.
Malah tambah beliau, bagi memastikan kesinambungan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk golongan dewasa, remaja dan dos penggalak dapat diteruskan dengan lancar, pengoperasian PPV selanjutnya akan diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM) sepenuhnya kelak.
“Berkongsi data daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) trend jangkitan kes di negeri ini menunjukkan penurunan.
“Bagaimanapun, kerajaan negeri atas usaha sama JKNPP dan juga KKM masih membuat persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan Kon Yeow menambah, setakat semalam sebanyak 65 katil unit rawatan rapi (ICU) telah disediakan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Bagi jangka masa sederhana panjang jelasnya, sebanyak empat hingga enam katil ICU akan ditambah di HPP dalam tempoh terdekat bergantung kepada keperluan; hospital medan (4) dan Hospital Kepala Batas (10) yang dijangka siap hujung bulan ini.
“Perancangan keperluan peralatan serta keanggotaan juga sedang dirancang bagi pembukaan ICU tambahan tersenarai membabitkan kerjasama pada peringkat negeri dan Pusat,” katanya. – UTUSAN ONLINE