KULIM: Lebih 800 penduduk di beberapa kampung sekitar Mukim Mahang, di sini kecewa dengan masalah capaian internet lemah yang masih berlarutan.
Mereka mendakwa, masalah capaian internet lemah itu menyebabkan ramai dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti tidak dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dengan lancar.
Antara kampung terlibat ialah Kampung Paya, Kampung Lobak, Kampung Bukit Kabu, Kampung Cherok Kedah, Kampung Ulu Mahang dan Kampung Bukit Kubur.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Kubur, Norizam Ahmad, 49, berkata, kebanyakan penduduk tidak berpuas hati dengan capaian internet di kawasan ini yang lemah sehingga menimbulkan beban kepada mereka yang menggunakannya dalam urusan tertentu.
Katanya, masalah itu telah lama dibangkitkan penduduk kepada pihak terlibat, namun tiada tindakan segera diambil untuk mengatasinya.
“Keadaan itu menyebabkan urusan penduduk terutama pelajar sekolah dan universiti tidak selesa mengikuti sesi PdPR kerana liputan internet yang kadangkala ada dan sekejap terputus,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Kubur di sini, semalam.
Malah tambahnya, seorang anaknya perempuannya berusia 17 tahun yang belajar di Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahang terpaksa menyelesaikan tugasannya lewat malam untuk mendapatkan liputan agak baik.
Sementara itu, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam, Izatul Humaira Mohamad Fazil, 18, berkata, dia terpaksa menumpang sementara di rumah rakannya di sekitar pekan Mahang untuk menyiapkan tugas yang memerlukan capaian internet.
Katanya, keadaan internet di pekan Mahang didapati laju berbanding di kawasan rumahnya di Kampung Bukit Kubur.
“Kebiasaannya untuk memuat naik sesuatu tugasan akan mengambil masa lama bergantung kepada kandungan dihantar pensyarah.
“Jika bahan yang dihantar itu bersaiz besar, maka banyak masa yang diambil disebabkan capaian internet lemah,” katanya.
Seorang penduduk Kampung Lobak di sini, Azama Razali, 49, berkata, internet di kampungnya juga menghadapi masalah yang sama dan lebih serius pada waktu puncak.
Katanya, penduduk di kampung ini yang terpaksa bekerja di rumah (WFH) ketika pandemik Covid-19 ini turut terkesan kerana sering terganggu urusan kerana capaian internet yang lemah.
“Selain itu, mereka yang menjalankan perniagaan atau membeli-belah secara dalam talian juga terganggu ketika melakukan transaksi atau menjawab pesanan pelanggan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE