Pemuda UMNO minta Perdana Menteri campur tangan kes Adib -

Pemuda UMNO minta Perdana Menteri campur tangan kes Adib

ALLAHYARHAM MUHAMMAD ADIB MOHD. KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pergerakan Pemuda UMNO menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob campur tangan dalam kes pembelaan kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim yang masih menemukan jalan buntu.

Pengarah Komunikasinya, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk mengarahkan supaya membuka kembali siasatan kes berkenaan dengan menjadikan dapatan inkues sebagai petunjuk baharu.

SYED MOHD. JOHAN RIZAL SYED UNAN MASHRI

“Sekarang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kami menaruh pengharapan bertindaklah kembalikan keyakinan kepada keadilan, seperti mana beliau pernah suarakan semasa menjadi ketua pembangkang dahulu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Inilah peluang beliau untuk membuktikan keadilan sentiasa dipelihara. Tolonglah Perdana Menteri tindakan segera perlu dipamerkan bagi memastikan pengorbanan Muhammad Adib bukan sia-sia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Tambahnya, kenyataan terbaharu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin jelas tidak memberi keyakinan adanya usaha serius merungkai pelaku kematian walaupun mahkamah koroner memutuskan insiden berkenaan adalah satu kejadian jenayah.

“Nampak caranya usaha menemui cahaya di hujung terowong bagi keadilan kematian anggota Muhammad Adib masih lagi jauh, samar-samar. Ataupun mungkin cahaya itu tidak akan ditemui.

“Jelas daripada kenyataan itu (Zuraida) tiada satu langkah menyakinkan kerajaan, tidak berbeza dengan nada menteri berkenaan sebelum ini. Walaupun pembelaan kematian Muhammad Adib bukan di bawah bidang tugas kementerian itu  tetapi Allahyarham adalah bekas anggota perkhidmatan di bawah kementeriannya,” katanya.

Syed Mohd. Johan Rizal berkata, pembelaan arwah Muhammad Adib menjadi harapan keluarga dan seluruh rakyat Malaysia yang masih tidak kesampaian walaupun bulan hadapan genap tiga tahun tragedi itu berlaku.

“Kes Adib ini kita perjuangkan bukan setakat kerana pembelaan terhadap kematian Allahyarham, tetapi isu yang lebih besar adalah mengembalikan keyakinan kepada sistem keadilan negara.

“Isu yang lebih besar adalah mewujudkan suasana keyakinan bahawa tiada sesiapa yang tertinggal dalam mendapat hak pembelaan menerusi sistem yang telus dan tiada perbuatan jenayah yang dibiarkan tanpa mendapat hukuman mahkamah,” katanya.

Baru-baru ini, Zuraida memaklumkan bahawa kes kematian anggota bomba Muhammad Adib ditutup sementara dan akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Katanya, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini