Peminjam PTPTN dapat manfaat Bajet 2022 - Utusan Malaysia

Peminjam PTPTN dapat manfaat Bajet 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendapat manfaat di dalam Bajet 2022 melalui pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman.

Menerusi satu kenyataan, PTPTN memberitahu, peminjam boleh mendapatkan diskaun bayaran balik pinjaman itu bermula 1 November ini hingga 30 April 2022.

Katanya, peminjam dapat manfaat diskaun sebanyak 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.

“Peminjam yang mahu membuat penyelesaian penuh pinjaman atau bayaran balik sekurang-kurang 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran perlu mendapatkan pengesahan baki hutang melalui portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi Eksekutif Pemasaran PTPTN mulai 1 November 2021. Seterusnya, bayaran balik boleh dibuat melalui mana-mana saluran bayaran balik yang disediakan oleh PTPTN.

“Peminjam yang ingin membuat bayaran balik melalui potongan gaji atau debit hendaklah membuat permohonan secara dalam talian di https://www.ptptn.gov.my/potonggajionline/ bagi potongan gaji manakala debit terus di https://www.ptptn.gov.my/direct_debit/direct_debit.html.

“Peminjam yang sedang membuat bayaran balik pinjaman melalui potongan gaji atau debit terus juga layak mendapatkan diskaun 10 peratus tertakluk kepada bayaran balik yang diterima oleh PTPTN mulai 1 November 2021 hingga 30 April 2022,” katanya.

Jelas kenyataan itu, insentif diskaun akan dikemas kini di dalam akaun peminjam pada akhir setiap bulan dan peminjam boleh membuat semakan penyata mulai hari ketujuh pada bulan yang berikutnya.

PTPTN mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di atas persetujuan untuk pemberian insentif diskaun bayaran balik kepada peminjam PTPTN dalam Bajet 2022.

“Insentif diskaun bayaran balik yang diumumkan ini akan memberi manfaat kepada 1.67 juta peminjam. Ini menunjukkan kerajaan dan PTPTN sentiasa prihatin kepada para peminjam PTPTN terutama ketika pandemik Covid-19 masih melanda negara,” katanya.

PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi berharap agar para peminjam akan terus menyokong usaha kerajaan dalam melestarikan dana pembiayaan pendidikan dengan melaksanakan tanggungjawab membayar balik pinjaman untuk masa depan pendidikan generasi akan datang.

PTPTN sentiasa komited dan bersedia untuk membantu peminjam selaras dengan inisiatif #PTPTNSediaBantu. Untuk sebarang pertanyaan, peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN melalui www.ptptn.gov.my di ruangan Soalan Lazim mulai 1 November 2021 atau menghubungi PTPTN melalui Careline PTPTN di 03 – 21933000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya