fbpx

7 Disember 2021, 7:50 am

  TERKINI

Pemindahan organ khinzir kepada manusia dibolehkan dengan syarat darurat

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemindahan organ khinzir kepada manusia adalah dibolehkan dengan syarat ia adalah darurat yang disahkan oleh pakar perubatan dan tidak ada alternatif lain yang lebih sesuai. 

Itu jelas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi artikel terbaharu dikongsinya menerusi saluran media sosial, Maktabah Al-Bakri.

Zulkifli berkata, jika sudah ada alternatif lain yang halal, maka terbatallah keharusan ini. 

Menurutnya, beliau juga berpandangan bahawa sudah sampai masanya bagi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengeluarkan pandangan dalam isu ini. 

“Sesungguhnya kajian seperti ini adalah amat penting untuk menyelesaikan masalah yang kritikal pada masa kini yang terkait dengan rawatan dan perubatan,” katanya.

Katanya, prinsip asas bagi pemindahan organ melibatkan manusia-haiwan adalah haram menggunakan najis untuk berubat jika ada bahan yang suci. 

Namun, katanya, bahan najis boleh digunakan jika ia adalah keperluan yang mendesak dan tidak ada bahan yang suci lain yang boleh digunakan.

Zulkifli berkata, para ulama’ bersepakat tentang haramnya penggunaan najis sebagai bahan ubat namun, berbeza pada keharusannya atas sebab darurat. 

“Bagi mazhab Syafie, penggunaan tulang yang dikira najis, tidak dibenarkan kecuali pada keadaan yang amat mendesak dan tidak ada alternatif lain daripada tulang yang suci,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pakar bedah di Amerika Syarikat (AS) berjaya melakukan pemindahan buah pinggang babi ke manusia buat pertama kali dalam sejarah perubatan.  

Menurut Daily Mail, prosedur yang dilakukan oleh pasukan pakar bedah di NYU Langone Health di New York menandakan ‘langkah signifikan’ dalam penggunaan organ binatang bagi menyelamatkan nyawa manusia.

Pembedahan itu melibatkan penggunaan gen babi yang diubah sehingga tidak mengandungi molekul yang diketahui akan berlaku penolakan segera oleh tubuh manusia. 

Penerima adalah pesakit yang mempunyai kegagalan fungsi bahagian otak dengan tanda-tanda kegagalan buah pinggang. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN