SEREMBAN: Sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka terbubar ataupun tidak kini terpulang kepada kebijaksanaan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam namun ia perlu mengikut Perlembagaan Undang-undang Tubuh negeri tersebut.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan, perkara tersebut perlu juga mengambil kira sama ada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali memberi notis untuk membubarkan semasa beliau masih lagi mempunyai majoriti ataupun tidak.
“Saya masih mahu menunggu, kalau Ketua Menteri Melaka, mencadangkan kepada pembubaran DUN dibuat sebelum sidang media (empat ADUN tarik sokongan) atau tidak kerana ini penting. Selepas sidang media diadakan, Ketua Menteri sudah tidak ada lagi majoriti, tapi kalau sudah dihantar kepada Tuan Yang Terutama sebelum sidang media tersebut, Tuan Yang Terutama boleh mendengar nasihat dan mempertimbangkan.
“Tetapi kalau buat selepas sidang media itu tadi, Tuan Yang Terutama tidak lagi boleh menerima nasihat kerana nasihat tersebut datang daripada seorang yang tidak ada lagi sokongan majoriti, ini undang-undang, kita kena ikut betul-betul,” katanya.
Mohamad berkata demikian dalam program bual bicara Terus Terang yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO Online malam ini.
Bagaimanapun, tambah Mohamad, pihaknya dimaklumkan, notis pemberitahuan kepada Yang Dipertua Negeri telah dihantar lebih awal berbanding sidang media dilakukan oleh keempat-empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan tersebut.
“Pembubaran DUN selepas sidang media dibuat, tidak boleh, di Melaka kita tidak tahu, tapi dengar khabar, sidang media dibuat pada pukul 1, tetapi Ketua Menteri Melaka sudah hantar notis pemberitahuan kepada Tuan Yang Terutama pada sebelah pagi.
“Maknanya semasa notis itu diberi, Ketua Menteri masih lagi mempunyai majoriti, dalam Perlembagaan beliau masih lagi boleh menasihati dan Tuan Yang Terutama perlu mendenar nasihat beliau,” katanya lagi.
Sementara itu, mengulas lagi keadaan kemelut politik yang berlaku itu, Mohamad berkata ia sesuatu yang ‘malang’ buat negeri Melaka.
“Kita sibuk buat CSA (perjanjian kepercayaan dan perbekalan) dengan parti pembangkang tetapi lupa buat CSA dengan parti sendiri, orang sendiri kita tidak jaga.
“Satu perkara yang malang bagi Negeri Melaka tetapi what goes around comes around kita kena belajar daripada ini,” katanya lagi sambil mengulangi harapan supaya akta anti lompat parti dapat segera dilaksanakan. -UTUSAN ONLINE