PETALING JAYA: Pelawat penghuni penjara yang telah lengkap dos vaksin dibenarkan membuat lawatan perjumpaan berkuat kuasa serta-merta.
Perjumpaan dan lawatan itu bagaimanapun dengan syarat dan garis panduan ketat yang wajib dipatuhi seperti mana yang ditetapkan bagi pengawalan dan pencegahan Covid-19 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Jabatan Penjara dalam satu kenyataan memberitahu, pelawat boleh membuat tempahan terlebih dahulu melalui beberapa kaedah iaitu temujanji melalui sistem i-Visit (ivisit.prison.gov.my), panggilan telefon, e-mel atau surat.
“Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat dengan had masa sesi lawatan tidak lebih 30 minit.
“Hanya dua orang pelawat sahaja dibenarkan dan pendaftaran terbuka (walk in) tidak dibenarkan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata kenyataan itu lagi, pelawat warga emas yang berumur lebih 60 tahun, kebenaran yang diberi adalah bersyarat iaitu mesti dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.
“Sila hubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan maklumat institusi boleh didapati di www.prison.gov.my,” jelasnya. – UTUSAN