Pelan Induk OSH-MP-25 garis 7 teras strategik - Utusan Malaysia

Pelan Induk OSH-MP-25 garis 7 teras strategik

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSH-MP-25) dirangka bertujuan menerapkan nilai inklusif bagi menggalakkan penyertaan semua pihak, bertepatan dengan transformasi sistem keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pelan Induk Jangka Sederhana selama lima tahun itu adalah kesinambungan pelan yang sama sebelum ini dengan menggariskan tujuh teras strategik yang menjadi pemacu kepada pembentukan ‘Budaya Kerja Selamat dan Sihat’ dan membantu meningkatkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia.

Beliau berkata, tujuh teras tersebut adalah pemerkasaan KKP di sektor awam, pengukuhan amalan peraturan kendiri di tempat kerja, penggalakan pendidikan dan penyelidikan KKP; pemerkasaan kesihatan pekerjaan dan peningkatan pematuhan KKP di sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Teras berikutnya ialah Pemantapan KKP melalui teknologi dan teras terakhir, peningkatan KKP berkaitan jalan raya – Work related Road Safety (WRRS), sektor informal dan pekerjaan masa hadapan (future jobs),” katanya ketika berucapkan melancarkan pelan itu secara maya hari ini.

Ismail Sabri berkata, pelan itu akan meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dengan mengurangkan kadar kemalangan, kematian dan  jangkitan penyakit sekali gus membantu usaha kerajaan meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat. 

Kata beliau, pelan tersebut dirangka setelah mengambil kira senario pekerjaan kini yang telah berubah. 

“Hari ini, ruang rumah setiap ahli Keluarga Malaysia sudah menjadi ruang pekerjaan. Begitu juga di kafe, gerai dan restoran. 

“Oleh itu, tujuh teras strategik yang mengamalkan budaya kerja selamat ini amat mustahak untuk dipatuhi oleh kita semua,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, kesan langsung akibat pengabaian KKP ini, negara boleh mengalami kerugian sebanyak empat peratus daripada perolehan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun. 

Namun, kata beliau, apa yang lebih diutamakan kerajaan ialah untuk mengelakkan kehilangan nyawa ahli Keluarga Malaysia.

“Setiap daripada kita perlu melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing bagi memastikan kejayaan Pelan Induk ini, selaras dengan tema OSH-MP-25: KKP Inklusif-Kebersamaan dan Komitmen. 

 “Komitmen semua pihak termasuk kerajaan, majikan dan pekerja adalah sangat diharapkan bagi memastikan misi memartabatkan KKP di negara ini terlaksana dengan jayanya,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya