Pasukan bertanding Piala Malaysia diingat terus patuhi SOP - Utusan Malaysia

Pasukan bertanding Piala Malaysia diingat terus patuhi SOP

AHMAD Faizal Azumu (dua dari kiri) menyertai senaman ketika hadir program Senamrobik Perdana Trofi Peja 2021 di Padang Bola Sepak Lintau, Manjoi di Ipoh, semalam.- UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Belia dan Sukan mengingatkan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, insiden 20 pemain dan empat pegawai pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) sah dijangkiti Covid-19 perlu dijadikan ikhtibar kepada mereka yang terlibat dalam sektor sukan.

“Saya berasa dukacita dengan apa yang berlaku kepada NSFC. Ambil ikhtibar dengan apa yang berlaku dan perlu perketatkan lagi SOP,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Senamrobik Perdana Trofi Peja 2021 di Padang Bola Sepak Lintau, Manjoi di sini semalam.

Menurut Ahmad Faizal, kerajaan telah menggariskan SOP yang ketat dan adalah penting mereka yang terlibat dalam industri sukan memahami apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan bagi mengelak penularan Covid-19.

Beliau berkata, pihaknya telah berhubung dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenai aspek pematuhan SOP sekiranya berlaku jangkitan Covid-19 kepada mana-mana pemain dan pasukan.

“Paling penting adalah SOP kendiri kerana jika kita terjangkit, ia boleh menjangkiti ramai lagi orang terdekat dan keadaan ini sudah tentu akan merencatkan lagi usaha kita membuka semula negara khususnya dalam sektor sukan,” katanya.

NSFC Jumaat lalu, memaklumkan penarikan diri daripada baki saingan Piala Malaysia untuk musim 2021.

Keputusan itu susulan empat pegawai dan 20 pemainnya dijangkiti Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin wajib di rumah serta dipantau pihak Kementerian Kesihatan.

Menurut NSFC, keputusan untuk menarik diri daripada saingan Piala Malaysia musim ini adalah demi menjaga keselamatan semua pihak serta mengambil nasihat yang diberikan oleh doktor pasukan.

MFL sebelum ini terpaksa menunda beberapa perlawanan Liga Super apabila terdapat pemain disahkan dijangkiti Covid-19.

Antara pasukan yang pemainnya pernah dijangkiti Covid-19 adalah Kedah Darul Amab (KDA) FC, Kuching City-FC dan Sarawak United.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya