Pas terima konsep Keluarga Malaysia - Utusan Malaysia

Pas terima konsep Keluarga Malaysia

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pas menerima konsep Keluarga Malaysia yang dipimpin oleh Islam bagi menjamin kestabilan negara dan mengajak semua pihak untuk menjayakan hasrat murni itu demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya menyambut baik konsep Keluarga Malaysia diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk diterapkan dalam pentadbiran kerajaan yang berteraskan nilai keterangkuman dan kebersamaan seterusnya menjadi intipati utama pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan 2022.

Katanya, Pas menerima realiti kemajmukan kaum dan agama negara ini dengan memperkenalkan konsep adil untuk semua dan tiada paksaan dalam beragama serta wajib tolong-menolong antara satu sama lain di atas konsep perpaduan umat manusia yang merupakan satu keluarga besar walaupun terdiri pelbagai bangsa dan agama.

“Pas melalui pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan Kedah sudah berjaya membuktikan bahawa keadilan kepada semua telahpun direalisasikan melalui hak beragama, bermasyarakat dan berkebajikan yang dipelihara oleh kerajaan di bawah kepimpinan Islam.

“Justeru Pas menerima konsep Keluarga Malaysia yang dipimpin oleh Islam bagi menjamin kestabilan negara, seterusnya mengajak semua pihak untuk menjayakan hasrat murni ini demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Keluarga Malaysia yang bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran diperkenalkan Ismail Sabri menerusi ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan dan membentuk kerajaan baharu pada Ogos lalu.

Menerusi ucapan Ismail Sabri semasa prapelancaran Keluarga Malaysia pada 8 Oktober lalu, Perdana Menteri berkata, idea itu dipilih kerana konsep sebuah institusi keluarga sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahlinya terbela.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN