Kawasan perkampungan di Kuching terjejas teruk akibat banjir

Kawasan perkampungan di Kuching terjejas teruk akibat banjir

ANTARA perkampungan yang terjejas banjir akibat hujan lebat khususnya di Kuching sejak semalam. - UTUSAN/CHERINE JON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kawasan-kawasan perkampungan di bahagian ini antara yang terjejas teruk oleh banjir akibat hutan lebat tanpa henti sejak semalam, khususnya melibatkan Daerah Bau, Serian, Siburan, Samarahan dan Simunjan.

Berdasarkan maklumat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Daerah Siburan paling banyak terjejas dengan enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini.

PPS yang dibuka di Siburan ialah di Balai Raya Kg. Betong Kanowit bagi menempatkan seramai 26 mangsa dari enam Ketua Isi Rumah (KIR), Dewan Taman Duranda Emas (47 KIR, 189 mangsa), Dewan St Peter Simpok(24 KIR, 55 mangsa), Dewan Serbaguna Kpg. Lintang Baru (31 KIR, 119 mangsa), SK Tanah Merah (87 KIR, 248 mangsa) dan Dewan Serbaguna Kampung Kerumboi(7 KIR, 28 mangsa).

Manakala di Bau, sebanyak dua PPS dibuka iaitu di Dewan Serbaguna Kampung Bijuray Mongag, Krokong bagi menempatkan seramai 93 orang mangsa daripada 93 Ketua Isi Rumah (KIR) dan Dewan Serbaguna Kampung Blimbin Krokong (21 KIR, 78 mangsa).

Di Serian, sebanyak dua PPS dibuka di Dewan Baru Kampung Rimba Padi bagi menempatkan 60 mangsa daripada 18 KIR dan Dewa Sri Tok Nan (jumlah mangsa dalam proses kemas kini).

Sementara di Samarahan, dua PPS dibuka di SK Endap bagi menempatkan 206 mangsa dari 65 KIR dan Dewan Suarah(3 KIR, 13 mangsa).

Di Simunjan pula, dua PPS dibuka di Dewan Mesra Simunjan bagi menempatkan 37 mangsa dari 13 KIR dan Dewan Masyarakat Gedong (3 KIR, 13 mangsa).

Selain itu, satu PPS dibuka di Sibu iaitu di Dewan Kampung Jeriah bagi menempatkan enam mangsa dari satu KIR.

Setakat pukul 4 petang tadi, sejumlah 1,172 orang mangsa dari 349 KIR ditempatkan di kesemua 15 PPS tersebut dengan trend pemindanan mangsa adalah meningkat.

Sementara itu, Timbalan Premier merangkap Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata tindakan segera diambil sebaik sahaja laporan banjir diterima, dengan jentera JPBN dan Bahagian diketuai Residen digerakkan untuk menilai situasi dan membantu penduduk.

“Pelbagai agensi turut dikerahkan, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar dan selamat,” kata selepas mempengerusikan mesyuarat Pusat Kawalan Bencana Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia pagi tadi.

Selain itu katanya, PDRM diarahkan memantau rumah dan harta benda penduduk yang ditinggalkan sepanjang proses pemindahan bagi menjamin keselamatan mereka.

Beliau menambah, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak turut digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa di PPS serta melakukan penyemburan bagi mencegah sebarang penularan penyakit, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×