KUALA LUMPUR: Parti baharu dinamakan Parti Penaja Kuasa Rakyat yang diasaskan oleh Kamarazaman Yaakob iaitu abang kandung Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara rasminya dilancarkan di The Diplomat, Pekarangan Tun Ismail, di sini, tadi.
Peluncuran parti itu sekali gus menambahkan satu lagi parti politik yang berbilang kaum di negara ini namun berpaksikan kepada konsep Nasionalisme Marhaenisme yang memperjuangkan nasib rakyat terutama dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) serta anak muda.
Presidennya, Kamarazaman berkata, parti itu akan bersuara, bergerak dan berjuang dalam menuntut hak-hak dan keperluan golongan berkenaan dan anak muda selain menumpukan kepada pendidikan percuma, menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kesihatan percuma, perumahan, peluang pekerjaan, petani, kelestarian alam sekitar dan membebaskan rakyat daripada cengkaman ‘orang tengah dan modal kaum’.
“Iklim politik negara hari ini sangat memerlukan sebuah parti yang benar-benar berbilang bangsa dan kaum. Bukan hanya di dalam Perlembagaan tetapi dari segi kompisisi kepemimpinan dan ahli malah parti juga mestilah sarat dengan perjuangan untuk seluruh anak bangsa. Parti seperti inilah yang sedang dicari dan ditunggu oleh generasi muda.
“Jurang kehidupan antara rakyat miskin dengan kaya semakin ketara, setiap tahun ia semakin melebar. Mengapa dibenarkan hanya segelintir dari rakyat menikmati kekayaan negara sedangkan majoriti rakyat tidak merasainya atau sekadar hanya mengambung kehidupan.
“Anak-anak muda pula boleh dari sekarang mencorakkan hala tuju parti ini. Kami generasi lama yang sarat dengan perjuangan marhain secara terbuka menerima mahu menawarkan perjuangan kami kepada anda semua. Kami hanyalah menyempurnakan tapak dan haluan ini untuk diteruskan oleh anak-anak progresif dari semua bangsa,” katanya semasa ucapan peluncuran parti petang ini.
Untuk rekod, Kamarazaman, 72, merupakan lepasan Universiti Malaya dan Presiden Persatuan Mahasiswa UM pada tahun 1973-1974. Beliau juga merupakan pemimpin demonstrasi di Baling pada tahun 1974 yang membela nasib golongan petani dan ditahan di bawa Akta Dalam Negeri 1960 (ISA) selama hampir dua tahun.
Parti penaja Kuasa Rakyat dianggotai oleh beberapa golongan profesional iaitu Prof. Datuk Dr. Mohamad Nasir Saludin, Prof. Dr. Mohd. Sahandri Gani Hamzah, Dr. Helmi Ibrahim, Dr. Hamzah Jaaffar, Dr. Gabriel Walter, Datuk Ching Eu Boon, Datuk Anas Yusof Sulaiman, Nik Abdul Aziz Nik Hassan, Gobalakrishnan Nagapan, Razali Abd. Razak dan Suharmili Roslee. – UTUSAN










