ALOR SETAR: Parti-parti Melayu terbesar di negara ini sedang mengadakan rundingan dalam usaha untuk mengelakkan pertembungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, rundingan berhubung perkara tersebut masih berjalan sebelum keputusan bersama dicapai selepas ini.
“Ada dua benda saja saya nak katakan. Pertamanya kalau boleh tak ada pertembungan dan perkara itu sedang diusahakan.
“Keduanya, adakan rundingan dan perkara itu sedang dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan 2021 di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin; Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kemas, Ahmad Kamal Idris Mohd. Nawawi serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah beberapa kali menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRN Melaka.
Malah kenyataan akhbar dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 28 Oktober lalu memaklumkan UMNO akan meneruskan persefahaman dengan Pas tanpa langsung menyebut mengenai kedudukan Bersatu.
Ditanya sama ada beliau optimis perkara itu boleh berlaku, Mahdzir menegaskan, rundingan tersebut sedang diusahakan dan masih berjalan.
“Saya tak bolehlah beritahu banyak sangat, cukuplah apa yang saya katakan,” jelasnya.











