KUALA LUMPUR : Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan dan membuka laluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ia susulan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tumbang selepas empat ADUN menarik sokongan.
“Saya (rasa) tidak mengapa kehilangan kerajaan negeri yang dikuasai parti saya tapi tunggulah. Elok kita adakan pilihan raya negeri yang berlaku supaya DUN Melaka dibubarkan dan kita beri mandat semula pada rakyat untuk rakyat memilih manakah yang terbaik untuk mentadbir negeri itu dan negara kita.
“Insya-Allah,” katanya ketika membahaskan RMK-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Zahid dalam masa yang sama turut berharap kemelut politik berlaku di Melaka tidak berulang di Putrajaya.
“Begitu juga apa sedang kita perhati di Melaka sekarang ini, saya harap perkara itu tidak menular untuk Ahli Dewan Rakyat,” katanya lagi.
Situasi politik di Melaka ‘panas’ apabila empat ADUN kerajaan mengumumkan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Sulaiman.
Mereka ialah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.
Idris berkata, kesemua mereka telah menghantar surat menarik sokongan kepada pejabat Ketua Menteri, hari ini.
Pengumuman itu dibuat pada satu sidang media dihadiri keempat-empat ADUN berkenaan.-UTUSAN ONLINE