MADRID: Pertahanan Real Madrid, Trent Alexander-Arnold percaya pasukannya mengejutkan ramai pihak yang menjangkakan mereka akan dibelasah apabila menewaskan Manchester City 3-0 dalam Liga Juara-Juara, semalam.
Federico Valverde menjaringkan hatrik pada separuh masa pertama untuk memberikan Madrid kemenangan sempurna dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir.
Skuad kendalian Alvaro Arbeloa itu mempamerkan aksi tidak konsisten sejak beberapa minggu kebelakangan ini namun mereka mempamerkan aksi terbaik musim ini di Santiago Bernabeu.
“Ini satu persembahan yang sangat besar. Banyak pihak bercakap mengenainya sejak undian dibuat dan menjelang perlawanan ini.
“Dengan cara kami bermain dalam beberapa perlawanan terakhir serta keputusan yang kurang memuaskan, ramai menjangka kami akan dibelasah malam ini (semalam),” katanya.
Menurut Alexander-Arnold, kejayaan tersebut menunjukkan mentaliti sebenar Madrid dalam kejohanan berprestij Eropah itu.
“Ia membuktikan mentaliti kami. Tidak kira berapa ramai pemain yang cedera atau tidak dapat bermain, pertandingan ini sangat bermakna buat kelab ini,” katanya.
Dalam perlawanan itu, Madrid terpaksa beraksi tanpa beberapa tonggak pasukan termasuk Kylian Mbappe, Jude Bellingham dan Rodrygo Goes.
Sementara itu, jurulatih Madrid, Alvaro Arbeloa memuji persembahan Valverde yang disifatkannya sebagai lambang sebenar semangat kelab tersebut.
“Saya sangat gembira untuk Valverde. Bagi saya, dia adalah Juanito abad ke-21. Dia merupakan gambaran sempurna tentang apa itu Real Madrid,” katanya. – AFP











