[PARLIMEN] Khidmat internet guna satelit tiada masalah - Zahidi - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Khidmat internet guna satelit tiada masalah – Zahidi

ZAHIDI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada masalah sekiranya terdapat syarikat swasta yang mempertimbang dan menawarkan perkhidmatan internet dan telekomunikasi melalui teknologi satelit.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin bagaimanapun berkata, penggunaan satelit diteruskan dengan syarat syarikat berkenaan dapat memberikan harga yang berpatutan kepada pengguna khususnya rakyat.

“Kerajaan memang berniat mahu memberikan liputan internet untuk kawasan luar bandar menggunakan satelit sebab ada sesetengah kawasan yang berbukit bukau dan tiada rangkaian internet.

“Walau bagaimanapun, satelit ini kosnya mahal dan saya mahu maklumkan kerajaan tidak pernah menaikkan harga bil telekomunikasi kecuali dia (pengguna) nak tambah data internet.

“Tetapi, tetapi kebanyakannya dari segi kadar mahu bayar bil, kita kekalkan harga supaya boleh bantu rakyat,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab celahan Ahli Parlimen Tuaran daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, sama ada kerajaan merancang menggunakan satelit bagi membekalkan liputan telekomunikasi dan internet di kawasan pedalaman.

Cadangan itu hadir setelah kerajaan menyedari terdapat pelbagai halangan dan cabaran untuk meletakkan menara telekomunikasi akibat faktor demografi khususnya di kawasan luar bandar yang berbukit bukau.

“Sampai bila kita mahu mahu bergantung dengan menara telekomunikasi ini? Pertanyaan saya dari segi dasar kerajaan bagaimana cara untuk kita mengakses capaian internet melalui satelit.

“Kalau tidak, persoalan mengenai menara telekomunikasi ini tidak akan habis dalam aspek tapak dan halangan lain. Tetapi, dengan satelit ia dapat dipermudahkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN