KUALA LUMPUR: Suasana di Dewan Rakyat hari ini bertukar tegang apabila Ahli Parlimen Jempol daripada UMNO, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif dengan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik (Bebas) bertegang urat mengenai status program MyBrain 15 yang ditangguhkan pelaksanaannya sebelum ini.
Mohd. Salim bertanyakan soalan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mengenai perkembangan program tersebut dengan mendakwa MyBrain 15 dihentikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Penghentian program MyBrain 15 seperti didakwa Salim adalah atas alasan kekangan kewangan negara dan ekonomi tidak stabil stabil ketika Pakatan Harapan (PH) masih memerintah.
Walau bagaimanapun, tidak sempat Noraini menjawab soalan itu, Maszlee yang merupakan Menteri Pendidikan semasa pentadbiran PH mencelah dan cuba membetulkan dakwaan oleh Salim.
“Izinkan saya membetulkan fakta ini sebab disebutkan tentang kerajaan PH di waktu saya (menjadi menteri).
“Kenyataan tersebut mengelirukan dewan. Kita (pembangkang) berkali-kali di dewan ini ketika saya duduk di sana (sebagai kerajaan) bahawa ia tidak dimansuhkan (dihentikan). MyBrain, MyBrainSc masih ada,” kata Maszlee.
Salim pula berdiri dan meninggikan suaranya serta bertegas untuk Noraini menjawab soalan yang diajukan manakala Maszlee yang mencelah soalan tersebut tidak mempunyai kapasiti untuk mengulasnya.
“Bagilah menteri jawab, saya bertanya! Yang YB (Yang Berhormat) jawab buat apa?,” tegas Salim.
Selepas itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pula menyokong kenyataan Salim bahawa Nooraini adalah individu yang perlu menjawab soalan tersebut.
“Bagi menteri jawab dahulu, selepas itu Tampin (Datuk Dr. Hasan Bahrom) pun tengah menunggu (bertanya soalan),” katanya.
Program MyBrain 15 merupakan inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2011 bertujuan membiayai pelajar yang layak menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).
Pada 27 Julai 2018, Maszlee yang masih menerajui Kementerian Pendidikan dilaporkan menangguhkan pelaksanaannya kerana kerajaan terdahulu meninggalkan hutang terlalu banyak yang membuatkan PH merasakan tidak boleh memberikan biasasiswa kepada sesiapa.
Pada 4 April 2019 pula, kata Maszlee, Kementerian Pendidikan masih meneruskan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) walaupun tawaran baharu program MyBrain 15 ditangguhkan.
Pada Ogos tahun lalu, Noraini dilaporkan sebagai berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan melaksanakan kembali program MyBrain 15 menggunakan kaedah baharu yang kini dalam proses kelulusan Unit Perancangan Ekonomi (EPU). -UTUSAN ONLINE