[Parlimen] Dahulu Labuan bebas cukai, sekarang coklat sahaja bebas cukai - Utusan Malaysia

[Parlimen] Dahulu Labuan bebas cukai, sekarang coklat sahaja bebas cukai

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa bahawa Labuan bukan lagi sebuah wilayah bebas cukai seperti dahulu.

Sebaliknya, beliau berkata, hanya jualan coklat dan gula-gula sahaja yang masih lagi bebas cukai, tetapi bukan lagi untuk barang-barang lain.

“Labuan satu ketika dahulu adalah bandar bebas cukai, tetapi mutakhir ini Labuan seperti sebuah bandar diserang garuda. Yang bebas cukai cuma coklat, yang lain-lain tiada lagi bebas cukai.

“Harga di tanah besar itulah dijual di Labuan. Jadi, tolonglah bangunkan Labuan, kembalikan status bebas cukai, menteri datang Labuan buat kajian, kalau tak laksanakan apa-apa, maka kembalikan Labuan ke negeri Sabah, biar kami bangunkan,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Anggota Dewan Undangan Negeri Lamag dalam kawasan Parlimen Kinabatangan menganggap Labuan bukan lagi destinasi pilihan rakyat Malaysia.

“Itu kalau Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan tidak boleh melihat Labuan sebagai satu wilayah yang perlu dibangun, iaitu ekonomi Labuan pada ketika ini bukan lagi satu tarikan kepada mana-mana pihak.

“Dulu orang Sabah ramai yang datang sebab ada barang yang dia perlu beli dengan harga murah, tetapi selepas ini harga murah cuma coklat dan gula-gula, yang lain semua mahal sebab tidak ada lagi status bebas cukai,” katanya.

Justeru, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mengekalkan status Labuan sebagai wilayah bebas cukai.

“Peniaga pun hairan, kalau bebas cukai maka bebas cukailah, kenapa bebas cukai tetapi dikenakan cukai tinggi, bebas cukai ini bermakna satu tarikan kepada orang luar untuk datang boleh membantu pertingkatkan ekonomi di kawasan Sabah.

“Tetapi sekarang tidak ada apa-apa lagi, sudah jadi diserang garuda, padang jarak padang terkukur. Rakyat Labuan menderita, tidak ada ekonomi yang perlu mereka pertingkatkan untuk pendapatan seharian mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN