[PARLIMEN] Akta Sekat Agama tidak halang kebebasan beragama orang bukan Islam - Idris Ahmad - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Akta Sekat Agama tidak halang kebebasan beragama orang bukan Islam – Idris Ahmad

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam tidak akan menyekat kebebasan beragama terhadap orang bukan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, orang bukan Islam tidak terikat dengan undang-undang tersebut sekiranya penyebaran agama hanya ditujukan kepada golongan yang menganuti agama selain daripada Islam.

“Rang undang-undang ini bukan tujuan menyekat kebebasan beragama dalam kalangan orang bukan Islam. Mereka bebas menyebarkan agama mereka dalam kalangan mereka sahaja tetapi tidak untuk orang Islam,” katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Dewan Negara itu menjawab soalan lisan tambahan dari Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) yang mempertikai kewajaran undang-undang tersebut dilaksanakan sedangkan di dalam Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan Islam adalah agama Persekutuan selain bebas beragama secara aman.

Sebelum itu, Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) meminta Idris menyatakan status Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau dikenali sebagai RUU355 dan RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang sudah sedia dibawa ke rundingan bersama negeri-negeri pada tahun lepas.

Kata Idris, jawatankuasa teknikal sudah menubuhkan jawatankuasa kecil bagi meneliti secara mendalam sekali gus mencadangkan penambahbaikan terhadap rang undang-undang berkenaan bagi memastikannya selari dengan Perlembagaan.

“Kedua-dua undang-undang ini akan dimuktamadkan kelak dan akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam persidangan penyelarasan undang-undang syarak dan sivil yang dijadualkan berlangsung pada 12 sehingga 14 Oktober ini,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama Islam), Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan akan memperkenalkan 11 RUU termasuk Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam bagi memperkasa undang-undang syariah di Malaysia khususnya di Wilayah Persekutuan.

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) mendakwa penggubalan undang-undang itu menyebabkan kegelisahan besar dalam kalangan penganut bukan Islam.

Parti komponen kerajaan, Parti Bersatu Sabah (PBS) turut menolak sekeras-kerasnya hasrat membentangkan RUU itu kerana didakwa menghalang kebebasan beragama di negara ini dan kandungan di dalam RUU tersebut belum diketahui setakat ini.

Kebanyakan negeri di seluruh negara mempunyai undang-undang sama di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-Agama Bukan Islam kecuali Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang masih tidak terikat dengan undang-undang berkenaan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN