PETALING JAYA : Malaysia berkemampuan menghasilkan vaksin Covid-19 sendiri kerana mempunyai pakar yang boleh menghasilkan pelalian itu namun usaha berkenaan memerlukan lebih ramai pakar klinikal bagi melaksanakan ujian klinikal manusia yang pertama di Malaysia.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pembangunan bakat juga dititikberatkan supaya lebih ramai generasi muda dipupuk minat mereka ke arah menjadi saintis vaksin.
“Kolaborasi melibatkan seluruh negara adalah sangat penting memandangkan proses penghasilan vaksin memerlukan banyak kepakaran dari pelbagai pemegang taruh seperti kementerian, agensi, institut, pihak swasta serta pertubuhan masyarakat sivil.
“Selain dari membangunkan vaksin berkaitan Covid-19, Institut Genom dan Vaksin Malaysia ini turut akan dipergiatkan lagi dengan usaha untuk menjalankan pembangunan dan penyelidikan dalam penghasilan vaksin bagi penyakit berbahaya lain seperti kanser, denggi, taun dan leptospirosis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Lam Thye mengalu-alukan cadangan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Adham Baba kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap kewujudan Institut Genom dan Vaksin Malaysia untuk menghasilkan vaksin Covid-19 buatan Malaysia.
Katanya, kewujudan institusi ini akan memudahkan kerajaan untuk menyelaras semua aktiviti pembangunan dan penyelidikan berkaitan genom dan vaksin selain dapat menggembleng tenaga pakar yang berkaitan dengan lebih cekap.
“Harapan saya adalah untuk menyaksikan negara Malaysia mempunyai kemampuan menghasilkan vaksin tersendiri seterusnya vaksin berkenaan dikomersialkan dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Penubuhan institut ini akan membolehkan kita menghasilkan vaksin buatan Malaysia yang dikenali di peringkat global dan diiktiraf penggunaannya di serata dunia,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE