BUKIT MERTAJAM: Sebanyak RM2.2 juta nilai jualan direkodkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerusi program jualan MyRakyat untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, program itu dijalankan di 91 buah lokasi di seluruh negara melibatkan penyertaan seramai 3,410 usahawan.
“Kita menyasarkan lebih daripada jumlah tersebut (RM2.2 juta), tetapi memandangkan masih dalam fasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi kita tak dapat bergerak aktif seperti sebelum ini.
“Insya-Allah, apabila lebih banyak negeri mula memasuki fasa ketiga dan lebih aktif selepas ini, saya rasa lonjakkan daripada RM2.2 juta ini akan menjadi tiga atau empat kali ganda lagi hingga ke hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menghadiri program tersebut yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun FAMA ke-56 di Bandar Perda, di sini semalam.
Yang hadir sama, Pemangku Setiausaha Bandaraya yang mewakili Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Baderul Amin Abdul Hamid dan Pengarah FAMA negeri, Mohd. Azraie Ramli. – UTUSAN ONLINE